Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat peningkatan 7.1% kepada RM147.9 bilion pada Mei 2024- DOSM | DagangNews Skip to main content

Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat peningkatan 7.1% kepada RM147.9 bilion pada Mei 2024- DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Julai - Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan bulanan berjumlah RM147.9 bilion, meningkat 7.1% tahun ke tahun pada Mei 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tu dipacu subsektor perdagangan runcit yang meningkat 8.7% atau RM5.1 bilion kepada RM64 bilion. 

 

Katanya, perdagangan borong juga berkembang dengan mencatatkan 4.7% atau RM2.9 bilion kepada RM65.1 bilion, diikuti kenderaan bermotor dengan pertumbuhan dua digit 10.5% atau RM1.8 bilion untuk berada pada RM18.8 bilion.

 

"Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong dan runcit naik 2% bebranding bulan sebelumnya disokong oleh kenderaan bermotor dan perdagangan borong, masing-masing dengan 8.8% dan 2%," katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Melihat kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir berkata, pertumbuhan 8.7% tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan kedai bukan pengkhususan yang mencatatkan pertumbuhan 10.7% atau RM2.4bilion kepada RM24.9 bilion.

 

Katanya, kumpulan lain dalam subsektor itu turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan kedai pengkhususan (12.8%), jualan runcit barangan isi rumah (5.3%), jualan runcit makanan, minuman & tembakau (9.6%), jualan runcit bahan api kenderaan (0.6%), jualan runcit barangan kesenian & rekreasi (3.4%), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (8%) dan jualan runcit di gerai & pasar (5.9%). 

 

dosm

 

Mengulas mengenai subsektor perdagangan borong, kenaikan 4.7% tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM900 juta atau 4% kepada RM24.1 bilion. 

 

Katanya, ia diikuti jualan borong makanan, minuman & tembakau (6.2%), jualan borong barangan isi rumah (6.5%), jualan borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup (3.9%), jualan borong jentera, peralatan & bekalan (1.8%), perdagangan borong tanpa pengkhususan (4.3%) dan jualan borong berdasarkan kontrak atau yuran (2.2%). 

 

"Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong kembali mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 2%, disumbangkan jualan borong barangan isi rumah (3.3%), julan borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup (4.7%) dan lain-lain pengkhususan jualan borong (1.5%)," katanya.

 

Mohd Uzir berkata, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10.5% bagi subsektor kenderaan bermotor pada Mei 2024 dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang melonjak 11.1% atau RM1 bilion untuk merekodkan RM9.9 bilion. 

 

Beliau berkata, ia diikuti jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor (11.9%) dan penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor (12.8%). 

 

"Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini kembali positif dengan 8.8%, didorong oleh jualan kenderaan bermotor (14.9%) dan jualan, penyelenggaraan & pembaikan motosikal (17.2%)," katanya.- DagangNews.com