KUALA LUMPUR 8 Feb - Indeks volum perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan pertumbuhan 9.9% dari tahun ke tahun pada suku keempat 2022, menjadikan pertumbuhan keseluruhan 2022 kepada 14.3%, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 19.3%, diikuti oleh kenderaan bermotor dan perdagangan borong yang masing-masing naik 7% dan 0.9%.
“Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, indeks volum meningkat 1.6%, disokong oleh kenderaan bermotor yang menokok 5.1%,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.
Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir berkata, indeks volum perdagangan runcit merekodkan pertumbuhan positif 19.3% disumbangkan oleh jualan runcit bahan api kenderaan dengan 35.7% diikuti jualan runcit di kedai khusus yang menjual barangan lain 32.9% dan jualan runcit di kedai bukan pengkhususan 22%.
“Sementara itu, indeks volum perdagangan runcit meningkat 2% berbanding suku tahun lepas,” katanya.
Mohd. Uzir berkata, indeks volum subsektor perdagangan borong merekodkan pertumbuhan positif 0.9% pada suku tahun keempat 2022 berbanding tempoh yang sama pada 2021, disumbangkan oleh jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup yang berkembang 13.7%.
“Bagi indeks volum pelarasan musim, perdagangan borong dan runcit merosot -1.8% berbanding suku tahun ketiga 2022.
"Subsubsektor perdagangan borong dan perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan negatif masing-masing -2% dan -0.1%.
“Indeks volum perdagangan borong dan runcit mengakhiri 2022 dengan 142.1 mata, meningkat 14.3%, disokong oleh kenderaan bermotor, perdagangan runcit dan perdagangan borong yang tumbuh masing-masing 39.2%, 19.2% dan 3.6%,” katanya. - DagangNews.com