Perdagangan borong, runcit Oktober jatuh 0.8%  | DagangNews Skip to main content

Perdagangan borong, runcit Oktober jatuh 0.8% 

 

  Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Nilai  jualan  perdagangan  borong  dan  runcit  Malaysia pada Oktober 2020 menguncup 0.8% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM110.5  bilion.

 

Ketua Perangkawan di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ini disebabkan oleh perdagangan runcit yang menyusut 1.5% (-RM0.7 bilion). 

 

Perdagangan borong juga turun  0.9% (-RM0.5 bilion), katanya.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

“Sebaliknya, kenderaan bermotor terus merekodkan pertumbuhan positif  2.2% atau peningkatan sebanyak RM0.3 bilion.

 

“Bagi  Oktober  2020,  indeks  volum  perdagangan  borong  dan runcit  mencatatkan  pertumbuhan  -1.4% tahun  ke  tahun  untuk  mencapai  130.3 mata

 

“Kejatuhan   ini   disebabkan   oleh   perdagangan   runcit   dan perdagangan   borong   yang   masing-masing  turun  2.8% dan  0.8%,” ujarnya dalam siaran Perdagangan Borong dan Runcit, Oktober 2020 hari ini.

 

Sebaliknya, kenderaan bermotor merekodkan pertumbuhan positif iaitu  1.7%

 

Bagi indeks volum pelarasan musim, ia merosot 1.4% bagi perbandingan bulan ke bulan.

 

Tambah Mohd. Uzir, perdagangan borong menjana jualan sebanyak RM53.4 bilion pada Oktober 2020, turun RM0.5 bilion (-0.9%) berbanding Oktober 2019. 

 

Lain-lain pengkhususan jualan borong dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran merosot masing-masing  6.1% dan  3.6% berbanding tahun sebelumnya. 

 

Sementara itu, jualan perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan negatif  1.5% berbanding Oktober 2019. 

 

“Antara kumpulan yang menyumbang kepada penurunan ini ialah jualan runcit di kedai khusus yang menjual bahan api kenderaan (-9.6%), jualan runcit di kedai khusus yang menjual barangan lain (-7.4%) dan jualan runcit di kedai khusus yang menjual barangan kesenian dan rekreasi (-4.6%) berbanding September 2020, jualan bagi subsektor ini menurun  1.4%,” tambahnya. - DagangNews.com