Perdagangan runcit diunjur berkembang sebanyak 11.1% bagi tahun penuh 2023, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Perdagangan runcit diunjur berkembang sebanyak 11.1% bagi tahun penuh 2023, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Dis - MIDF Research mengunjurkan perdagangan runcit berkembang sebanyak 11.1% bagi tahun penuh 2023 dan 7.5% pada tahun hadapan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi tempoh 10 bulan tahun ini, jualan perdagangan pengedaran Malaysia meningkat sebanyak 8.1% dari tahun ke tahun.

 

Katanya, ia melibatkan semua komponen terutamanya jualan kenderaan bermotor dan perdagangan runcit bertambah baik sebanyak 13% dan 10% manakala perdagangan borong meningkat sebanyak 5.2%.

 

"Melangkah ke hadapan, momentum permintaan domestik yang menggalakkan dijangka berterusan pada suku keempat tahun ini.

 

"Keadaan itu seterusnya disokong oleh pasaran tenaga kerja yang berdaya tahan, tekanan inflasi yang berkurangan, peningkatan dalam aktiviti pelancongan dan dasar ekonomi yang menyokong seta akomodatif," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat peningkatan 6.5% kepada RM142.3 bilion pada Oktober 2023 - DOSM

 

Terdahulu, peningkatan sebanyak 6.5% tahun ke tahun bagi perdagangan borong dan runcit pada Oktober 2023 disumbangkan subsektor perdagangan borong yang meningkat 5.7% atau RM3.4 bilion kepada RM63.3 bilion. 

 

Katanya, perdagangan runcit juga berkembang dengan mencatatkan 3.9% atau RM2.3 bilion kepada RM60.6 bilion, diikuti kenderaan bermotor dengan pertumbuhan dua digit 19.1% atau RM3 bilion untuk berada pada RM18.4 bilion.

 

Sementara itu, penurunan marginal -0.3% berbanding bulan sebelumnya adalah disebabkan perdagangan borong yang menguncup -1.4%, diikuti perdagangan runcit dengan -0.8%. Sebaliknya, kenderaan bermotor kembali mencatatkan pertumbuhan positif 5.2%. - DagangNews.com