Perdagangan runcit diunjur meningkat 11.8% pada 2023, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Perdagangan runcit diunjur meningkat 11.8% pada 2023, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - MIDF Research mengunjurkan perdagangan runcit meningkat sebanyak 11.8% pada tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia didorong peningkatan jualan perdagangan pengedaran Malaysia dengan kadar dua angka sebanyak 8.5% dari tahun ke tahun bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

 

“Permintaan pengguna kekal kukuh dan berdaya tahan seperti yang dapat dilihat daripada prestasi jualan perdagangan dan pengedaran.

 

“Daya tahan permintaan pengguna di Malaysia sejajar dengan pembangunan pasaran pekerjaan yang baik dan tekanan inflasi yang rendah,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Perdagangan borong, runcit meningkat 6.7% kepada RM142.5 bilion pada Ogos 2023 - DOSM

 

Terdahulu, peningkatan 6.7% tahun ke tahun bagi perdagangan borong dan runcit pada Ogos 2023 disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat 6.2% atau RM3.7 bilion kepada RM63.9 bilion.

 

Perdagangan runcit juga berkembang 6.3% atau RM3.6 bilion kepada RM60.5 bilion.

 

Pertumbuhan 6.2% tahun ke tahun dalam subsektor perdagangan borong disumbangkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM1.5 bilion atau 6.2% kepada RM25 bilion.

 

MIDF Research berkata, momentum permintaan domestik yang menggalakkan dijangka berterusan untuk baki separuh kedua 2023, disokong oleh pasaran tenaga kerja yang berdaya tahan, tekanan inflasi yang rendah, aktiviti pelancongan yang meningkat serta dasar ekonomi yang positif. - DagangNews.com