Perdana Menteri akan bertemu Presiden Indonesia di Istana Bogor hari ini | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri akan bertemu Presiden Indonesia di Istana Bogor hari ini

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual diberikan sambutan rasmi di Istana Bogor yang terletak 60 kilometer (km) dari Jakarta dalam rangka lawatan rasmi selama tiga harinya ke negara itu.

 

Perdana Menteri dalam ciapannya di Twitter berkata: "Saya akan mengadakan pertemuan dengan (Presiden Indonesia) Bapak (Joko Widodo) Jokowi untuk membincangkan beberapa perkara demi kepentingan rakyat Malaysia-Indonesia.

 

"Beberapa Memorandum Persefahaman dan Perjanjian di antara kedua-dua negara akan dimeterai atas kepaksian hubungan akrab antara dua negara berjiran.

 

"Dalam memperkasa industri pertahanan, saya juga akan mengadakan lawatan ke pusat kemudahan industri pertahanan yang terdapat di Bandung,” katanya, lapor Bernama.

 

Ia merupakan lawatan pertamanya ke Indonesia sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos lalu.

 

Selepas jamuan negara di istana, Ismail Sabri akan kembali ke hotel penginapannya  untuk bertemu dengan pemimpin industri Indonesia, sebelum menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman pada sebelah malam.

 

Beliau juga dijadual mengadakan dialog dengan diaspora Malaysia semasa majlis makan malam.

 

Sepanjang lawatan itu, Ismail Sabri diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq.-DagangNews.com