Perdana Menteri beri jaminan tiada lagi PKP di seluruh negara | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri beri jaminan tiada lagi PKP di seluruh negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan bersama mangsa-mangsa banjir dari Kampung Guai, Kampung Charuk Puting dan Kampung Batu Bor, hari ini.

KUALA LUMPUR 23 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di seluruh negara selepas ini.

 

Beliau berkata, jaminan itu diberikan apabila rakyat menyuarakan kebimbangan mereka bahawa PKP akan dilaksanakan semula termasuk ketika sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini.

 

"Saya pernah umumkan bahawa kita tidak akan buat lagi PKP seluruh negara, negeri dan daerah.

 

"Sektor ekonomi buka seperti biasa, saya beri jaminan tidak akan akan menutup lagi negara dari segi perniagaan, pergerakan rakyat bebas seperti biasa, tetapi kita fokus kawasan bersasar sahaja," katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama petugas-petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) daerah Bera.

 

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di sesebuah kawasan secara bersasar sekiranya berlaku peningkatan kes positif COVID-19 yang signifikan.

 

"Contohnya seperti di Bera, kawasan di Felda Sebertak di situ ada kes meningkat, PKPD dilaksanakan.

 

pm

 

"Jadi jangan bimbang dah ada buat spekulasi, kononnya rakyat tak boleh balik, itu semua tidak betul, kita pastikan perkara ini tidak berlaku," katanya. - DagangNews.com