Perdana Menteri bimbang belia catat kes kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri bimbang belia catat kes kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan kebimbangannya terhadap kes kematian golongan belia yang mencecah hampir 50% daripada jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya antara 2019-2021.

 

Beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun itu sebanyak 4,769 nyawa terkorban di jalan raya setiap tahun dalam tempoh berkenaan. 

 

"Dalam tempoh yang sama, golongan belia mencatatkan kes kematian tertinggi, iaitu secara purata sebanyak 7,077 kes, mencecah hampir 50% daripada kadar jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya.

 

"Statistik ini menunjukkan golongan muda terdedah kepada risiko lebih tinggi semasa berada di jalan raya, dan ini merupakan cabaran utama pihak penguatkuasa untuk membendungnya.

 

"Berdasarkan Aspirasi Malaysia, kerajaan berhasrat mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50% menjelang tahun 2030," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Kompleks Rakan Muda Bera, Pahang, hari ini.

 

Mengulas mengenai BLKM, Ismail Sabri berkata, seramai 404 penduduk Orang Asli di Bera akan mendapat Bantuan Lesen Memandu Motosikal (Lesen B2) selepas berjaya memenuhi semua kriteria yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
  

pm

 

Beliau berkata, bantuan itu membolehkan masyarakat luar bandar khasnya penduduk Orang Asli di Bera, menarik nafas lega dalam mengharungi kehidupan harian yang semakin  mencabar.

 

"Dengan pemilikan lesen kelas B2 ini, golongan berkenaan dapat meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi selain mengukuhkan pasaran tenaga kerja negara

 

"Selaku Ahli Parlimen Bera, saya yakin BLKM dapat memberi manfaat dari segi penciptaan pekerjaan dalam kalangan masyarakat B40, sekali gus memperkasa pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia.

 

"Bagi Keluarga Malaysia yang masih menganggur dan mencari peluang pendapatan baharu, BLKM ini diharap memudahkan segala urusan harian, meningkatkan sosioekonomi dan mengatasi masalah ketiadaan lesen memandu dalam kalangan golongan B40," katanya.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, dalam memastikan pembangunan bersifat menyeluruh dan berterusan, Malaysia telah menggubal Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 ke arah menjadikan Malaysia, sebuah negara berpendapatan tinggi.

 

Beliau berkata, sektor pengangkutan merupakan pemangkin utama bagi pembangunan sosioekonomi, di mana aspek kecekapan sistem pengangkutan berkait rapat dengan pertumbuhan ekonomi dan aktiviti perdagangan negara. 

 

"Melalui perancangan strategik, kerjasama, dan komitmen semua pihak termasuk pihak industri, kerajaan dapat menyediakan satu sistem pengangkutan yang mampan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya. - DagangNews.com