KUALA LUMPUR 31 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri Persidangan Kerajaan Dunia 2022 yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), bersempena Ekspo 2020 Dubai, petang semalam.
Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebooknya berkata, persidangan yang mengangkat tema “Shaping Future Governments” atau Membentuk Kerajaan Masa Hadapan telah dihadiri Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum yang juga pemerintah Dubai.
Beliau berkata, persidangan terbesar itu menghimpunkan ketua-ketua negara, serta pakar-pakar pelbagai bidang dari seluruh dunia.
"Pada persidangan dua hari yang bermula pada 29 Mac, pelbagai isu telah diketengahkan termasuk isu-isu global, ekonomi dan pentadbiran menerusi lebih 100 sesi yang diadakan.
"Menerusi persidangan ini, ketua-ketua dunia dapat membincangkan kerjasama masa hadapan bagi mendepani cabaran luar jangka seperti pandemik COVID-19," katanya.
Perdana Menteri singgah di Dubai pada Selasa selepas lawatan rasmi tiga hari ke Qatar sejak Sabtu lalu. - DagangNews.com