Perdana Menteri zahir perasaan terharu bertemu anak mangsa kemalangan Lebuhraya DUKE | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri zahir perasaan terharu bertemu anak mangsa kemalangan Lebuhraya DUKE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan perasaan terharu selepas bertemu dengan anak kepada mangsa nahas kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), kira-kira enam tahun lalu.

 

Beliau berkongsi video pertemuannya dengan Nur Firuza Amira yang kini berusia 13 tahun, anak sulung kepada pasangan, Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya, Nova Safitri Azhari, 25, yang telah meninggal dunia dalam tragedi itu.

 

Perdana Menteri turut mendoakan remaja itu sentiasa sihat dan di bawah lindungan dan rahmatNya.

 

"Perasaan terharu, namun bercampur gembira apabila bertemu Amira.

 

"Kalau kalian semua masih ingat, Amira menjadi yatim piatu apabila kedua ibu bapanya terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya DUKE pada 2015.

 

"Amira, juga anak angkat saya, kini telah pun berusia 13 tahun. Ketika peristiwa itu berlaku, Amira baru sahaja berusia tujuh tahun.

 

"Atuk Syang Amira," katanya menerusi laman Instagram rasminya.

 

Tragedi mengorbankan pasangan terbabit termasuk anak bongsu mereka, Nur Firuza Annisa, pada Mei 2015 itu mencetuskan kemarahan orang ramai apabila kemalangan itu didakwa berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu lain.

 

Sejak kematian pasangan itu, Amira dan adiknya, Nur Firuza Aqila, kini dijaga oleh ibu saudara mereka yang juga kakak kepada arwah bapa mereka, Yusnida Hussain. - DagangNews.com