Perdana Petroleum catat untung RM20.51 juta pada suku keempat didorong kadar penggunaan kapal lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Perdana Petroleum catat untung RM20.51 juta pada suku keempat didorong kadar penggunaan kapal lebih tinggi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Feb - Perdana Petroleum Bhd. mencatat untung bersih sebanyak RM20.51 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 daripada kerugian bersih sebanyak RM264.77 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu turut merekodkan pendapatan lebih tinggi pada suku berkenaan sebanyak RM55.2 juta daripada RM43.9 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Peningkatan itu terutamanya didorong kadar penggunaan kapal yang lebih tinggi pada 60% berbanding 51% pada suku keempat 2021, berikutan kadar sewaan dan harga minyak yang menggalakkan pada tempoh berkenaan.

 

Secara keseluruhan, bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22), kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM11.39 juta daripada kerugian bersih RM328.67 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM196.6 juta daripada RM153.47 juta.

 

Pada tahun kewangan itu, kadar penggunaan kapal meningkat kepada 59% daripada 49% pada FY21 didorong kadar sewaan harian dan kerja kontrak yang dianugerahkan syarikat minyak utama pada separuh kedua 2022.

 

Sebagai tambahan kepada kadar penggunaan yang lebih tinggi, pemulihan yang menghasilkan keuntungan bagi tahun tersebut adalah disebabkan caj susut nilai yang lebih rendah (RM60.6 juta berbanding RM129.2 juta) dan pembalikan kerugian rosot nilai ke atas hartanah, loji dan peralatan (PPE) sebanyak RM11.4 juta pada tahun kewangan semasa (berbanding dengan kerugian rosot nilai pada PPE sebanyak RM220 juta pada tahun kewangan lalu).

 

Mengenai prospek kumpulan, Perdana Petroleum berkata, ia kekal optimis tetapi berhati-hati dengan mengambil kira ketidaktentuan semasa geopolitik, kenaikan inflasi dan kadar faedah.

 

"Melangkah ke hadapan, kami akan memanfaatkan kekuatan dan kecekapan kami yang lebih baik untuk kekal mampan dan relevan dalam jangka panjang," katanya. - DagangNews.com