Perdana Petroleum raih kontrak bernilai RM7.9 juta daripada Petronas Carigali | DagangNews Skip to main content

Perdana Petroleum raih kontrak bernilai RM7.9 juta daripada Petronas Carigali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Feb - Perdana Petroleum Berhad menerusi anak syarikatnya, Perdana Nautika Sdn. Bhd. menerima kontrak penyediaan sebuah kapal tunda dan bekalan (AHTS) bagi kapal sauh tunggal daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak tersebut akan bermula pada tarikh sijil sewa kapal, dianggarkan bermula pada 1 Mac 2023 bagi tempoh 245 hari dari tarikh mula dengan pilihan lanjutan sehingga 30 hari.

 

Kontrak itu bernilai kira-kira RM7.96 juta (tanpa tempoh lanjutan).

 

"Perdana Nautika perlu menyediakan kapal AHTS dengan krew dan peralatan untuk melaksanakan perkhidmatan 24 jam untuk membantu dan/atau servis pelantar penggerudian, pemasangan luar pesisir, tongkang, menunda dan kerja berlabuh," katanya.

 

Pada Februari 2022, kumpulan itu memperoleh kontrak bagi penawaran tiga kapal AHTS daripada Petronas Carigali bernilai RM9.6 juta.

 

Sementara itu, pada April 2022, kumpulan memperoleh arahan kerja untuk penyediaan satu kapal tongkang kerja penginapan (AWB) daripada Vantage Well Services Sdn Bhd pada harga RM5.49 juta.

 

Perdana Petroleum berkata, kontrak tersebut dijangka menyumbang kepada hasil dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

 

"Ia tidak memberi kesan kepada modal saham dan struktur pegangan dalam kumpulan," katanya. - DagangNews.com