Perdana Petroleum terima dua kontrak berasingan berjumlah RM14.3 juta daripada ROC Oil, T7 Marine | DagangNews Skip to main content

Perdana Petroleum terima dua kontrak berasingan berjumlah RM14.3 juta daripada ROC Oil, T7 Marine

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Feb - Perdana Petroleum Bhd menerusi Perdana Nautika Sdn Bhd menerima dua kontrak berasingan berjumlah RM14.3 juta daripada ROC Oil (Sarawak) Sdn Bhd dan T7 Marine Sdn Bhd.

 

Kumpulan itu berkata, mereka menerima kontrak bernilai RM8.4 juta daripada ROC Oil (Sarawak) pada 14 Disember 2023 bagi menyediakan satu unit kapal tunda dan bekalan tunda pengendalian sauh (AHTS).

 

"Kapal itu akan membantu dan/atau menyelenggara pelantar penggerudian, pemasangan luar pesisir, kapal derik, kerja menunda dan berlabuh di wilayah Sarawak.

 

"Kontrak itu adalah selama 120 hari bermula minggu pertama Januari 2024, dengan pilihan untuk lanjutan kontrak sehingga 30 hari," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Dalam makluman berasingan, kumpulan itu turut meraih kontrak bernilai RM5.9 juta daripada T7 Marine pada 24 Januari 2024 bagi penyediaan unit tongkang kerja penginapan (AWB).

 

"Tongkang itu akan datang bersama kru dan peralatan bagi melakukan perkhidmatan berterusan mengikut skop kerja yang dipersetujui untuk menyokong aktiviti projek T7 Marine," katanya.

 

Kontrak akan bermula antara 6 hingga 20 Februari 2024, bagi tempoh sehingga 50 hari, dengan pilihan lanjutan yang boleh dilaksanakan dari tarikh permulaan.

 

Perdana Petroleum berkata, kontrak yang dimenangi itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersihnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Katanya, kontrak itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan sahamnya. - DagangNews.com