Perjanjian dengan Sinovac, Pharmaniaga raih manfaat - MIDF | DagangNews Skip to main content

Perjanjian dengan Sinovac, Pharmaniaga raih manfaat - MIDF

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Pharmaniaga Bhd. akan menyaksikan aliran pendapatan alternatif yang positif kepada kumpulan selepas syarikat itu menandatangani perjanjian dengan Sinovac.  

 

MIDF Research mendapati perjanjian itu juga dapat meningkatkan keupayaan pengeluaran produk farmaseutikal pada masa akan datang.

 

Penganalisisnya, Noor Athila Mohd. Razali bagaimanapun berkata, impak kewangan daripada perjanjian ini masih terhad memandangkan Pharmaniaga terikat dengan perjanjian kerahsiaan (NDA) dengan Sinovac.

 

"Kami melihat perjanjian ini satu perkembangan yang positif kepada Pharmaniaga. Malah, kami juga berpendapat, pembotolan atau 'fill and finish' dan pengedaran vaksin COVID-19 ini akan menyumbang secara marginal kepada pendapatan kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini.  

 

Menerusi perjanjian itu, Pharmaniaga akan memulakan proses pembotolan vaksin COVID-19 pada akhir bulan depan dan mengedarkannya kepada orang ramai pada akhir Mac.

 

Syarikat farmaseutikal itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS), akan melabur kira-kira RM3 juta bagi menaiktaraf kilang suntikan volum kecil (SVI) bagi membolehkannya menjalankan proses pembotolan vaksin COVID-19.

 

Pharmaniaga menandatangani perjanjian dengan Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac), syarikat dari China yang membangunkan vaksin COVID-19, untuk pembekalan 14 juta dos vaksin COVID-19 secara pukal bagi menjalankan proses pembotolan di Malaysia.
 

Sejajar dengan perjanjian itu, Pharmaniaga dijangka memeterai 2 perjanjian dengan Sinovac bagi mengeluarkan vaksin COVID-19 di peringkat tempatan dalam masa terdekat. 

 

Noor Athila berkata, pengumuman mengenai terdapat kemungkinan pengeluaran vaksin COVID-19 secara tidak langsung dapat membantu mengimbangi prospek pendapatan Pharmaniaga yang tidak menentu. 

 

"Ini satu perkembangan yang positif, bukan sahaja kepada pendapatan Pharmaniaga tetapi juga dari segi teknologi vaksin (virus yang tidak aktif) yang terbukti mempunyai kaedah berkesan. 

 

"Bahkan ini akan memberi petanda yang baik kepada masa depan pelbagai produk Pharmaniaga," katanya. 

 

Namun, beliau berkata, pengeluaran vaksin secara tempatan akan mengambil masa memandangkan perjanjian berikutnya dan pelaksanaan terma adalah seawal Mac 2021, ekoran situasi pandemik yang mendesak. 

 

"Kami menganggarkan proses pendaftaran dan kelulusan akan memakan masa kira-kira 90 hingga 120 hari untuk diselesaikan dengan baik apabila syarikat menerima keputusan ujian yang positif, tanpa menanggung sebarang perkara di luar jangkaan," katanya. - DagangNews.com