Perjanjian operasi dan caj perkhidmatan penumpang baharu belum dimuktamadkan, TA Securities positif terhadap prospek Malaysian Airports | DagangNews Skip to main content

Perjanjian operasi dan caj perkhidmatan penumpang baharu belum dimuktamadkan, TA Securities positif terhadap prospek Malaysian Airports

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Dis - TA Securities positif terhadap prospek Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) meskipun perjanjian operasi (OA) dan caj perkhidmatan penumpang (PSC) baharu 2024 masih belum dimuktamadkan.

 

Katanya, selain itu ia juga melibatkan kemerosotan nilai belum terima bernilai RM27.4 juta daripada penggantungan operasi MyAirline. 

 

"Dari segi pelaksanaan PSC baharu, mungkin mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk syarikat penerbangan membuat semua persiapan yang diperlukan. 

 

"Pihak pengurusan memberi jaminan bahawa OA baharu akan menjadi versi ‘dipertingkatkan’ yang melindungi kepentingan semua pihak," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu adalah sebanyak RM94.76 juta untuk 3QFY23, berbanding kerugian bersih RM9.04 juta untuk tahun sebelumnya, berikutan peningkatan dalam hasil, pendapatan lain dan bahagian keuntungan yang lebih baik daripada syarikat bersekutu dan usaha sama, serta kos kewangan yang lebih rendah.

 

Hasil suku tahunan melonjak 48.32% kepada RM1.28 bilion daripada RM863.61 juta, didorong oleh sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada operasinya di Malaysia, Turkiye dan Qatar.

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan itu lebih tinggi antara 8.9% hingga 25.5% kepada RM496.8 juta hingga RM728.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY25.

 

Katanya, ia mengambil kira andaian perbelanjaan runcit lebih tinggi pada FY23/FY24/FY25 iaitu sebanyak RM543.4 juta/RM754.4 juta/RM800.3 juta (daripada RM473 juta/RM731 juta/RM776 juta sebelumnya).

 

TA Securities menjangkakan MAHB memperoleh momentum yang kukuh, berikutan peningkatan kapasiti sebanyak 24% daripada syarikat penerbangan tempatan dan tambahan 31% daripada syarikat penerbangan asing. 

 

Firma itu menjangkakan pendapatan MAHB kekal memberangsangkan, berikutan perbelanjaan runcit yang lebih tinggi, yang meningkat kepada RM304 setiap tiket pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23), berbanding RM290 pada 2QFY2023 dan RM230 pada 3QFY2019, disokong oleh penyewaan normalisasi dan royalti tanpa diskaun diberikan kepada penyewa setelah pemulihan penuh pergerakan penumpang antarabangsa tahun depan.

 

"Kami menyemak naik penarafan MAHB kepada 'pegang' dengan harga sasaran RM7.85 sesaham," katanya. - DagangNews.com