Perkasa, daulatkan penggunaan Bahasa Kebangsaan di persada dunia | DagangNews Skip to main content

Perkasa, daulatkan penggunaan Bahasa Kebangsaan di persada dunia

oleh Norazlinda Mohammad

KITA mengetahui bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sangat mendukung dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk menggunakan Bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan di dalam setiap urusan rasmi, mesyuarat dan persidangan antarabangsa. 

 

Mencintai dan bertutur bahasa Melayu harus dipraktikkan bukan sahaja di dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa. 

 

Ini sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. 


 

ismail sabri

 


Lembaran Sejarah telah merekodkan bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa rasmi bagi Persekutuan Malaysia pada tarikh 1 September, 1967. 

 

Bahkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. 

 

Menurut pakar bahasa Melayu, Prof. Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, seorang warga Malaysia seharusnya menguasai bahasa kebangsaan sendiri dahulu, barulah bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris dan mempelajari bahasa-bahasa yang lain. 

 

Oleh yang demikian, wahai rakyat Malaysia fikir; jangan jadikan ia sebagai polemik dengan mempersoalkan atau menidakkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita di dalam apa sahaja urusan baik dari segi kerja pentadbiran, pengurusan kakitangan awam dan swasta.

 

Memperkasakan serta mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kebanggaan rakyat Malaysia melambangkan jati diri kita, mengeratkan perpaduan malah berperanan sebagai bahasa ilmu. 

 

Felow Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong menyatakan pendiriannya; masyarakat Malaysia tidak sepatutnya berasa malu, ketinggalan zaman, kekok atau rasa janggal menggunakan bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi di pentas dunia. 

 

Dengan erti kata lain, bahasa Melayu tidak pernah menghalang kepada kemajuan negara.  Belajar untuk mencintai bahasa kebangsaan kerana bahasa merupakan jiwa bangsa.

 

Usah perlekeh Bahasa Melayu

Terdapat segelintir kumpulan tertentu atau golongan skeptikal yang lebih mementingkan penggunaan bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris dengan memperlekeh dan memandang rendah atau hanya melihat sebelah mata sekiranya pemimpin negara berucap dalam bahasa Melayu di luar negara. 


 

parafrasa

 


Persepsi negatif dan jumud oleh sebilangan masyarakat perlu dihapus bagi mewujudkan negara Malaysia yang patriotik, mempunyai roh jati diri  dan berdaulat. 

 

Jiwa patriotik dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi seharusnya disemat di setiap sanubari rakyat Malaysia. 

 

Harus di ingat, negara-negara maju seperti Jepun, Jerman, Perancis dan Korea sangat menjunjung bahasa ibunda mereka dan mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara. 

 

Tambahan, mereka juga berbangga dengan budaya mereka dan mengekspresikan bahasa kebangsaan secara meluas di dalam majlis rasmi negara serta pengucapan di pelbagai acara persidangan antarabangsa. Tuntasnya, langkah pemerkasaan bahasa kebangsaan harus bermula di peringkat pemimpin.

 

Bahasa Kebangsaan menyatukan pelbagai kaum dan etnik masyarakat

Di era globalisasi iaitu abad ke-21, terdapat situasi yang menyedihkan akan generasi baharu yang lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris dan mencampur adukkan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di dalam pertuturan, penulisan dan menghasilkan karya kreatif seperti lagu yang memusnahkan identiti bahasa kebangsaan itu sendiri.


 

aaa

 


Penggunaan bahasa Melayu perlu ditekankan dan dipertingkatkan di dalam aspek komunikasi dan interaksi perhubungan sosial di dalam pelbagai bidang kerana ia melambangkan identiti nasional, budaya dan imej bangsa yang tidak boleh dijual beli. 

 

Pencemaran bahasa ini perlu ditangani dengan serius bagi mengelakkan bahasa Melayu dipinggirkan bak kata pepatah “melukut di tepi gantang.” 

 

Ini tidak sepatutnya dipandang enteng kerana natijah penggunaan ‘bahasa rojak’ bukan sahaja boleh melunturkan kekuatan bahasa Melayu, merosakkan budaya, perpaduan kaum, etnik malah menghapuskan tunjang jati diri dan budaya rakyat Malaysia.  

 

Seharusnya, bahasa Melayu perlu diangkat martabatnya sebagai medium bahasa utama kerana ia melambangkan identiti, budaya dan mengeratkan  perpaduan kaum dan etnik.


Perluaskan Kempen Cintai Bahasa Kebangsaan dan Program Martabatkan Bahasa

Kempen Cintai Bahasa Kebangsaan harus di peringkat umbi dan bergerak sentiasa bukan hanya mengikut musim serta diperluaskan bagi meningkat kesedaran betapa pentingnya penggunaan bahasa kebangsaan bukan sahaja dalam kalangan kakitangan awam, swasta malah di dalam sektor pendidikan, perniagaan, pengiklanan, komunikasi dan penghasilan penjenamaan atau karya kreatif. 


 

yas

 


Agensi kerajaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, (DBP) peringkat sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi Awam perlu cakna, bergandingan bahu, menggembleng tenaga dan buah fikiran bagi mengadakan program yang berkualiti untuk memperkasakan dan mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di kalangan masyarakat majmuk. 

 

Pendekatan penghasilan program perlu kreatif, inovatif, membuka minda dan menarik minat generasi baharu yang sememangnya berkecenderungan ke arah teknologi digital dan visualisasi selaras dengan revolusi industri 4.0

 

Antara program yang boleh dihasilkan ialah dengan mengadakan bulan bahasa kebangsaan oleh warga pendidik di peringkat sekolah dan universiti. 

 

Ini dapat memberi nafas baharu, landskap perubahan dan mewujudkan kesedaran jitu kepada pelajar akan betapa pentingnya penggunaan bahasa Melayu di dalam pertuturan, penulisan atau menghasilkan karya sastera. 

 

Pertandingan penghasilan slogan Cintai Bahasa Kebangsaan, pidato, wacana, debat dalam bahasa Melayu, mencungkil bakat pelajar dengan penghasilan karya kreatif seperti filem pendek, cerpen, skrip drama dengan menggunakan aplikasi teknologi digital dan media sosial dapat membantu serta menarik generasi baharu untuk mencintai, mendalami bahasa Melayu dan menyuntik semangat patriotik di dalam berkarya. 

 

Dari aspek pembelajaran bahasa Melayu dan perkembangan ilmu pengetahuan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan agensi-agensi yang berkaitan perlu membuka peluang dengan menggalakkan penulisan buku menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penulisan. 

 

Selain itu, buku-buku ilmuan dan teknikal seharusnya diterjemah di dalam bahasa Melayu bagi mendukung kelestarian penggunaan bahasa kebangsaan serta memperkasa bahasa Melayu dan perkembangan ilmu.


 

parafrasa

 


Bahasa Melayu dapat perhatian orang luar, dipelajari dan digunakan seantero dunia

Dunia tanpa sempadan membolehkan pembelajaran  bahasa Melayu tanpa mengira kaum dan batasan. 

 

Kita sepatutnya berbangga bahawa bahasa Melayu telah mendapat perhatian oleh orang luar malah dipelajari oleh warga asing di luar negara. 

 

Sesuatu yang memalukan kita sebagai rakyat Malaysia sendiri tidak mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik walaupun didedahkan sejak kecil dari bangku sekolah lagi berbanding dengan warga dari luar negara. 

 

Realitinya ia bukan perkara biasa kerana terbukti sebagai contoh selebriti dan pengacara terkenal Mohammad Kareef Daniel bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai nama glamer Mat Dan merupakan warga Inggeris dari United Kingdom, pada asalnya ialah seorang pelajar dan pengembara yang datang melawat Malaysia kini begitu mahir menguasai bahasa Melayu serta fasih bertutur loghat Terengganu.  

 

Begitu juga, penyanyi yang berasal dari Korea Selatan Jang Han-byul bukan sahaja begitu gigih mempelajari bahasa Melayu malah cuba berinteraksi menggunakan bahasa kebangsaan di dalam majlis atau program hiburan tempatan. 


 

Jang Han-byul
                                                             Jang Han-byul

 


Hakikatnya, orang luar lebih berminat untuk mempelajari dan bertutur bahasa Melayu yang dahulunya pernah menjadi bahasa lingua franca  pada kurun ke 16 dan 17. 

 

Sarjana Belanda, Francois Valentijn pernah berkata: “Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina.” 

 

Tidak mustahil, penggunaan bahasa Melayu akan diangkat menjadi bahasa terpenting di peta dunia kerana penguasaan bahasa kebangsaan ini boleh dipelajari melalui media sosial YouTube, TikTok dan teknologi digital yang dibangunkan oleh pencinta bahasa kebangsaan. 

 

Usah malu bertutur dan menulis di dalam bahasa Melayu kerana bahasa merupakan identiti rakyat Malaysia dan kita harus menjaganya dari pupus. - DagangNews.com

 

Norazlinda Mohammad adalah Pensyarah Kanan Pengajian Komunikasi & Media KPPIM, UiTM Cawangan Melaka