Perkembangan ekonomi domestik kukuh, MIDF Research unjur satu lagi kenaikan OPR tahun ini | DagangNews Skip to main content

Perkembangan ekonomi domestik kukuh, MIDF Research unjur satu lagi kenaikan OPR tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - MIDF Research mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mempertimbangkan satu lagi kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) pada separuh kedua tahun ini.

 

Firma itu berkata, unjuran itu adalah berdasarkan perkembangan ekonomi domestik yang lebih kukuh berbanding jangkaan.

 

Katanya, ekonomi domestik akan terus didorong oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan, peningkatan aktiviti berkaitan pelancongan dan pemulihan projek infrastruktur.

 

"Kami mengekalkan perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah pada kadar sederhana iaitu 4.2% pada tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pertumbuhan global diunjurkan sederhana pada 2.8% (2022: 3.4%).

 

Bagaimanapun katanya, pasaran buruh yang kukuh telah dicatatkan setakat ini dan peningkatan pendapatan membantu mengekalkan pertumbuhan perbelanjaan.

 

"Kadar inflasi di kebanyakan negara kekal tinggi kesan daripada peningkatan permintaan dan bank pusat utama terus menaikkan kadar faedah dasar dasarnya menjadi lebih tinggi," katanya.

 

Terdahulu, inflasi makanan Malaysia merosot lebih rendah pada 5.9% berikutan harga makanan di rumah menyusut ke paras terendah 13 bulan pada 4.3% manakala makanan di luar rumah kekal pada paras terendah 9 bulan pada 8.1%, kata firma itu.

 

Setakat lima bulan pertama tahun ini, purata inflasi makanan mencatatkan peningkatan sebanyak 6.6%, jauh lebih tinggi daripada 5.7% dalam tahun sebelumnya.

 

Bagi inflasi bukan makanan, firma itu yakin kerajaan akan mengekalkan status quo harga runcit bahan api sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini dan komponen inflasi ini dijangka pada purata 1.5%, di mana dalam tempoh lima bulan tahun ini ia berada pada 1.8%. - DagangNews.com