Perkembangan pusat data di Malaysia beri kesan positif kepada pertumbuhan KJTS, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Perkembangan pusat data di Malaysia beri kesan positif kepada pertumbuhan KJTS, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - RHB Investment optimis bahawa perkembangan pusat data di Malaysia akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan KJTS Group Berhad yang terlibat perniagaan sistem penyejukan pusat itu.

 

Katanya, Malaysia menjadi tumpuan pembangunan pusat data kerana memiliki tanah yang banyak pada harga yang rendah.

 

Pada masa sama, unjuran itu diperkukuhkan dengan ramalan syarikat teknologi global TechNavio mengenai perkembangan pasaran pembinaan pusat data bernilai RM4 bilion di Asia Tenggara bermula 2021 hingga 2025. 

 

"Pihak pengurusan telah menyatakan perbincangan berterusan mengenai penglibatannya dalam pelbagai projek berkaitan pusat data di wilayah tengah dan selatan Malaysia.

 

"Kami yakin peluang yang diberikan kepada KJTS untuk melibatkan diri dalam menyediakan sistem penyejukan untuk pusat data," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan kesedaran bagi mengurangkan pelepas tenaga, kerajaan bersedia untuk mengubaksuai bangunan kerajaan untuk kecekapan tenaga lebih baik.

 

Katanya, KJTS berada pada kedudukan yang baik untuk menikmati potensi peningkatan sebagai syarikat perkhidmatan tenaga yang disahkan (ESCO) yang diperakui.

 

"Ia juga menarik lebih banyak syarikat swasta untuk melibatkan KJTS bagi menaik taraf atau mengubahsuai sistem tenaga penyejukan kepada kecekapan tenaga yang lebih tinggi," katanya.

 

RHB Investment menganggarkan pendapatan teras kumpulan itu akan meningkat sebanyak 26%, 27% dan 9% dari tahun ke tahun daripada antara FY23 hingga FY25. 

 

"Margin keuntungan bersih berulang dijangka menurun sedikit pada FY23 disebabkan kos tenaga kerja yang lebih tinggi dan mengekalkan harga wajar (FV) 29 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com