PERKESO akui sistem maklumat, laman web digodam | DagangNews Skip to main content

PERKESO akui sistem maklumat, laman web digodam

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Dis - PERKESO mengesahkan sistem, pangkalan maklumat dan laman sesawangnya diserang penggodam, sejak Sabtu lalu.

 

Sehubungan itu, PERKESO mengaktifkan pelan pengurusan krisis diaktifkan pada hari sama manakala unit teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) digerakkan bagi tujuan pemulihan sistem.

 

Peringkat awal modus operandi serangan siber itu bertujuan melumpuhkan infrastruktur sistem PERKESO yang digunakan bagi pengoperasian seharian.

 

"Bagaimanapun, unit ICT PERKESO berjaya mendapatkan semula kawalan sistem, yang akhirnya menyebabkan penggodam menukar taktik dengan cuba melancarkan serangan 'character assasination' (pembunuhan watak) terhadap imej PERKESO.

 

"PERKESO memberi jaminan, usaha terancang didalangi penggodam ini tidak akan merencatkan khidmat kami kepada pencarum, majikan dan orang ramai.

 

"Justeru, segala pembayaran faedah, pampasan dan pencen ilat kepada pencarum serta waris terbabit akan tetap dilaksanakan mengikut tempoh diperuntukkan," kata PERKESO dalam kenyataan hari ini.


 

iktisad

 


Mengulas kebocoran maklumat yang dipaparkan pada 'dark web' atau laman web gelap, hasil penelitian awal PERKESO mendapati kesahihan data yang dicuri oleh penggodam itu amat diragui, tidak lengkap dan luput.

 

Ini kerana satu kluster data yang dicuri berkenaan tidak pernah dicerap oleh PERKESO, sejak agensi itu ditubuhkan pada Oktober 1971.

 

"Serangan siber terhadap PERKESO ini bukan kali pertama, sebaliknya siri pencerobohan sudah berlaku, dengan kali terakhir pada September lalu dan ia berjaya dibendung.

 

Terdahulu, sebuah forum awam dilaporkan menyiarkan maklumat pencarum PERKESO hasil penggodaman kumpulan penggodam pada 2 hingga 5 Disember lalu.

 

Pengguna forum BreachForums mendakwa lebih banyak maklumat pencarum PERKESO akan didedah dalam tempoh 72 jam.

 

Dengan pendedahan maklumat itu, difahamkan PERKESO menutup sementara kaedah pembayaran caruman secara dalam talian di laman webnya.

 

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Digital memaklumkan Jabatan Perlindungan Data Peribadi mengambil maklum perkara itu dan sedang mengambil tindakan sewajarnya.

 

Berdasarkan laporan berita, antara maklumat pencarum yang 'bocor' dan disiarkan dalam forum itu termasuklah nama, alamat, kaedah pembayaran dan nombor telefon bimbit.

 

Dalam masa yang sama, pengguna forum itu turut berkongsi pautan satu video dalam YouTube mengenai rakaman pertemuannya dengan PERKESO mengenai kes berkenaan. - DagangNews.com