Perkhidmatan pembaharuan permit pekerja asing tidak digantung, kata MyEG | DagangNews Skip to main content

Perkhidmatan pembaharuan permit pekerja asing tidak digantung, kata MyEG

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Sept - MyEG Services menjelaskan bahawa konsesi perkhidmatan pembaharuan permit pekerja asing mereka tidak digantung sejak Februari 2023 dengan mereka terus menerima panggilan daripada majikan bagi menuntut semula bayaran pendahuluan yang telah dibuat sebelum ini.

 

Penjelasan itu dibuat adalah bagi menjawab pertanyaan Bursa Malaysia mengenai status kontraknya dengan Jabatan Imigresen selepas didakwa telah digantung.

 

MyEG menekankan bahawa adalah menjadi dasar syarikat untuk membayar balik pelanggannya atas permintaan, sekiranya perkhidmatan tidak berjaya diberikan.

 

"Kami mematuhi semua terma dan syarat yang ditetapkan Kerajaan Malaysia berhubung penyediaan perkhidmatan kutipan yuran perkhidmatan pembaharuan permit pekerja asing tidak dilakukan secara haram.

 

“Kami ingin menjelaskan bahawa perkhidmatan konsesi MyEG tidak pernah digantung sejak Februari tahun ini," katanya.

 

BACA JUGA: MyEG nafi kenakan bayaran secara haram bagi pembaharuan permit pekerja asing
 

 

Syarikat itu menjadi perhatian selepas Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong (PH-DAP) mendakwa MyEG terus mengambil bayaran untuk perkhidmatan pembaharuan permitnya daripada majikan walaupun perkhidmatannya telah digantung oleh kerajaan sejak awal Februari.

 

Konsesi tiga tahun MyEG bagi perkhidmatan berkaitan imigresen dijadualkan berakhir pada 22 Mei, berikutan lanjutan dari Mei 2020.

 

Hanya dua bulan kemudian pada 10 Julai apabila MyEG berkata, mereka telah menerima surat pemberitahuan bertarikh 4 Julai daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan telah bersetuju dengan lanjutan bagi konsesi itu.

 

MyEG berkata syarat lanjutan akan dimukatamadkan mengikut perbincangan lanjut dengan kerajaan pada masa akan datang. Perjanjian untuk merasmikan lanjutan "akan ditandatangani pada peringkat kemudian".- DagangNews.com