Perkhidmatan tren kargo KTMB beroperasi di tiga negara ASEAN pada Oktober 2022 | DagangNews Skip to main content

Perkhidmatan tren kargo KTMB beroperasi di tiga negara ASEAN pada Oktober 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Perkhidmatan tren kargo Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal beroperasi di tiga buah negara ASEAN, bermula Oktober 2022.

 

Tiga negara terbabit, termasuk Malaysia, Thailand (State Railway of Thailand (SRT)) dan Laos (Lao Railways) yang akan dibuka perkhidmatannya secara komersial.

 

KTMB dalam satu kenyataan berkata, ASEAN Express telah pun menerima tempahan-tempahan awal bagi penghantaran kontena maritim bagi tujuan import dan eksport dan bakal menjana pendapatan tambahan bagi KTMB. 

 

Selain daripada itu katanya, ia menawarkan kos yang kompetitif berbanding mod pengangkutan yang lain kepada syarikat-syarikat pengimport tempatan dan antarabangsa. 

 

"Ia dijangka akan menawarkan kapasiti 80 TEUs bagi satu hala seminggu.

 

"Sempena bulan kemerdekaan ini, kejayaan ASEAN Express membangkitkan rasa bangga apabila tanah air tercinta, Malaysia melalui syarikat operator kereta api terulung, KTMB menjadi pelopor kepada perkhidmatan ini.

 

"Satu pengiktirafan kepada negara apabila syarikat kereta api negara luar seperti Thailand dan Laos memberikan kerjasama penuh menjayakan perkhidmatan tren kargo ini," katanya.

 

 

KTMB

 

 

KTMB berkata, ASEAN Express dijangka memberi manfaat besar kepada negara bagi industri logistik khususnya dan ekonomi amnya. 

 

"Bagi sektor logistik, ia akan membantu mengurangkan purata kos penghantaran, apabila mod pengangkutan rel bukan sahaja menjadi mod pengangkutan alternatif, malah bagi pengimport barangan elektrik dan elektronik. 

 

"Ini berikutan jenis barang import seumpama ini adalah sensitif dengan gegaran, dan rel telah terbukti sebagai mod pengangkutan yang paling selamat dengan bacaan gegaran terendah berbanding mod pengangkutan yang lain," katanya.

 

Terdahulu, kereta api ‘dry run’ ASEAN Express yang telah berlepas dari Stesen Kuala Lumpur pada 11 Ogos 2022 telah selamat sampai di Bangsue Yard, Bangkok semalam.

 

Majlis pelepasan dari Bangsue Yard, Bangkok ke Thanaleng, Laos disempurnakan Gabenor SRT, Niruj Maneepun dan Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, mewakili pengurusan tertinggi KTMB. 

 

Ia dimeriahkan lagi dengan sokongan dari Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel M C Samuel; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dan delegasi dari kementerian tersebut. - DagangNews.com