Perlu jelaskan sebab Mindef lewat terima helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk | DagangNews Skip to main content

Perlu jelaskan sebab Mindef lewat terima helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk

Helikopter Sikorsky UH-60A Black Hawk.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 19 April - Sepatutnya pada bulan ini Tentera Darat menerima helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk secara sewaan bagi kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

 

Mengikut perancangan, dua daripada empat pesawat akan dihantar dahulu diikuti helikopter seterusnya.

 

Bagaimana pun, tiada sebuah pesawat dihantar syarikat pembekal yang mana perkara ini hanya diketahui setelah disuarakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

 

Kelewatan penghantaran ini menyebabkan Tentera Darat belum dapat mengoperasikan helikopter yang merupakan aset sangat diperlukan.

 

 

 

 

Helikopter
Tentera Darat memilih helikopter Black Hawk terpakai sebagai aset sementara sebelum perolehan helikopter sebenar dibuat.
​​​​​​

 

Sehingga kini belum ada maklum balas daripada mana-mana pihak termasuklah Kementerian Pertahanan (Mindef) berhubung kelewatan tersebut.

 

Helikopter berkenaan sepatutnya diterima November lepas, bagaimana pun susulan beberapa kekangan melibatkan kontraktor dan pengeluar helikopter menyebabkan berlaku sedikit kelewatan.

 

Mengikut sumber tidak rasmi diterima Dagang News, ada beberapa perkara yang perlu dipastikan oleh pembekal sebelum pesawat berkenaan dapat dilepaskan.

 

Katanya, ini merupakan prosedur keselamatan dan teknikal bagi memastikan pesawat benar-benar diperiksa secara rapi.

 

Helikopter

 

Memandangkan perjanjian sewaan helikopter ini dibuat antara pembekal dan kerajaan melalui Mindef maka sudah pasti ada tatacara tertentu yang telah dipersetujui.

 

Ini kerana aset yang bakal diserahkan nanti hendaklah dipastikan selamat serta menepati dengan apa yang dikehendaki.

 

Sudah semestinya kesemua helikopter ini akan dibuat pemeriksaan sebelum penyerahan oleh bahagian kejuruteraan dan teknikal Mindef sendiri.

 

Mindef pada Mei tahun lalu menandatangani kontrak sewaan helikopter tersebut dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence & Services Sdn Bhd bernilai RM187 juta.

 

Empat buah helikopter ini akan disewa untuk tempoh lima tahun sebelum PUTD memutuskan perolehanan helikopter yang diinginkan.

 

Helikopter
Juruterbang PUTD semasa mengikuti latihan mengendalikan simulator Black Hawk di Turkiye.

 

Helikopter

 

Kesemua helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk ini menjalani penyelenggaraan semula termasuk pemasangan komponen bagi memastikan pesawat dioperasikan dengan baik.

 

PUTD ketika ini amat memerlukan pesawat utiliti sederhana (medium lift) bagi menjalankan operasi khususnya di kawasan pedalaman.

 

Sebagai kor yang memberikan sokongan udara kepada unit-unit Tentera Darat, helikopter Black Hawk dapat mengimbangi operasi-operasi yang dijalankan oleh Tentera Darat.

 

Misalnya melaksanakan operasi ulang bekal di kawasan pedalaman, menerbangkan anggota tentera ke barisan hadapan dan melaksanakan operasi lintas udara.

 

Selain itu helikopter Black Hawk ini nanti turut diperanankan bagi operasi bukan ketenteraan seperti semasa bencana dan melaksanakan penerbangan ihsan.

 

Helikopter
Helikopter Sikorsky Nuri.
​​​

 

Helikopter Black Hawk ini adalah bagi menggantikan pesawat Nuri yang telah ditamatkan perkhidmatan.

 

Ketika ini operasi ulang bekal dan logistik di barisan hadapan banyak bergantung kepada helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia.

 

Tujuh tahun lalu Tentera Darat berdepan isu sama apabila helikopter jenis MD-530G buatan Amerika Syarikat yang dibeli lewat diterima.

 

Mindef pada 2016 membeli 6 buah helikopter tempur ringan ini dengan kontrak bernilai AS$76.4 juta.

 

Helikopter

 

Kerajaan melantik sebuah firma tempatan sebagai perantara dengan firma pengeluar pesawat tersebut iaitu MD Helicopters Incorporated.

 

Enam helikopter MD530G sepatutnya diterima dalam dua fasa, dengan dua pada Julai 2017 dan empat lagi sebelum Disember 2018.

 

Hanya pada Februari 2022 kesemua helikopter dihantar itu pun setelah melalui proses panjang. - DagangNews.com