Perlu kaji semula dasar tarik pelaburan berkualiti - Bank Dunia | DagangNews Skip to main content

Perlu kaji semula dasar tarik pelaburan berkualiti - Bank Dunia


 

 

KUALA LUMPUR 17 Mac - Sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk mengkaji semula beberapa dasarnya dan merangkanya semula ke arah menarik lebih banyak pelaburan berkualiti yang akan dapat menyediakan limpahan peluang pekerjaan kepada rakyat, demikian menurut Kumpulan Bank Dunia seperti dilapor Bernama.

 

Ketua Ahli Ekonominya, Richard Record, berkata negara  perlu mengorientasikan semula pakej insentif di tengah-tengah landskap yang sangat kompetitif, melaksanakan kelulusan pelaburan automatik dan menawarkan insentif yang akan benar-benar dapat meletakkan Malaysia di peta dunia.


  
“Perlu ada usaha penggalakan yang lebih terselaras untuk mendapatkan pulangan pelaburan yang tinggi dan akhir sekali, penting untuk mempunyai kesinambungan dalam dasar dan hala tuju serta pembaharuan struktur,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran secara maya laporan terbaharu Bank Dunia Aiming High: Navigating the Next Stage of Malaysia's Development.

 

Record berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai bagaimana Malaysia boleh menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) untuk bersaing dengan negara-negara lain di rantau ini. 

 

Pada 2020, FDI bersih Malaysia susut 56 peratus kepada AS$3.4 bilion  susulan penularan pandemik COVID-19 yang menjejaskan bukan sahaja aktiviti ekonomi negara malahan ekonomi di seluruh dunia. 

 

Tahun lepas, ekonomi negara menguncup 5.6 peratus, prestasi terburuknya sejak penurunan 7.4 peratus semasa Krisis Kewangan Asia pada 1998.

 

Sementara itu, Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia Firas Raad berkata, akan ada pergantungan kepada pelaburan swasta namun beliau menekankan bahawa Malaysia berada dalam persekitaran yang sangat kompetitif kerana setiap negara di rantau ini sedang berusaha untuk menarik pelabur.

 

“Oleh itu pembaharuan dan inisiatif perlu dilaksanakan bagi memastikan Malaysia menawarkan penawaran yang kompetitif. 

 

“Kekurangan Malaysia berbanding negara-negara lain adalah dalam bahagian memulakan perniagaan dan dari segi rangka kerja insolvensinya sendiri.

 

"Mungkin ini adalah dua bahagian yang boleh ditambah baik oleh Malaysia untuk meningkatkan keupayaan pelabur untuk datang, dan juga untuk melindungi pelaburan apabila pelabur melaburkan wang mereka di negara ini,” katanya.

 

Bank Dunia dalam laporan tersebut menyatakan Malaysia dijangka mencapai peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi antara 2024 dan 2028.

 

Ini, katanya, adalah cerminan kepada trajektori pembangunan transformasi ekonomi negara dalam beberapa dekad lepas. 

 

Laporan itu mengingatkan bahawa negara memerlukan pembaharuan selanjutnya untuk berjaya menyertai ekonomi maju dan utama lain.

 

“Perlu diingatkan bahawa sebaik sahaja Malaysia melepasi ambang (pendapatan tinggi) dalam tempoh empat hingga lapan tahun, akan ada penanda aras baharu - bukan berbanding negara berpendapatan sederhana tinggi yang biasanya dibandingkan sebelum ini, tetapi kelab pesaing yang baharu dan perlu benar-benar mencatatkan prestasi pada tahap itu dan melaksanakan pembaharuan struktur mendalam dalam bidang yang berbeza,” katanya.


  
Dengan melakukan ini, kata Firas, Malaysia akan berada di landasan untuk meningkatkan pertumbuhan jangka panjang dan daya saingnya. - DagangNews.com