Perlu kawal selia Skim BNPL, pastikan hutang peribadi rakyat kekal terkawal – Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Perlu kawal selia Skim BNPL, pastikan hutang peribadi rakyat kekal terkawal – Pakar Ekonomi

Skim BNPL yang ditawarkan oleh pengendali bukan bank pada masa ini tidak termasuk dalam bidang kawal selia BNM atau mana-mana agensi kawal selia. - Ilustrasi Dan Mitchell
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 22 April – Skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) memberi kebebasan aliran tunai kepada pengguna untuk merancang pembelian yang mahal tanpa perlu menggunakan kredit mahupun pinjaman bank.

 

Bagaimanapun, skim ini perlu dikawal selia bagi memastikan hutang peribadi rakyat Malaysia kekal terkawal.

 

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Profesor Geoffrey Williams berkata, skim ini membantu golongan berpendapatan rendah yang tidak melepasi syarat pemilikan kad kredit, dan pada masa yang sama membantu firma untuk menjana jualan.

 

Menurut beliau, Skim BNPL adalah baik untuk pengguna dan firma dan sebenarnya telah wujud selama berabad-abad dan ia juga dikenali sebagai skim sewa beli.

 

‘’Sudah tentu skim BNPL ini mesti dikawal, tetapi terdapat keperluan khas untuk melihat skim ini di luar kontrak kredit pengguna biasa.

 

"Sebagai contoh, memasukkan skim BNPL sebagai sebahagian daripada saringan kredit pusat akan membantu semua pihak memastikan tahap hutang rakyat Malaysia tidak terlalu tinggi," jelas beliau kepada DagangNews.

 

 

Profesor Geoffrey Williams
                             Profesor Geoffrey Williams

 

 

Menurut laporan yang dikeluarkan Deloitte dan Mambu mengenai panduan BNPL dan bertemakan "Bagaimana BNPL boleh membuka kunci pertumbuhan untuk bank dan peruncit", yang menjelaskan penggunaan BNPL berkembang dengan pantas merentas Gen-Z, Milenium dan Gen-X dan kadar penggunaan tertinggi dilihat dalam kalangan segmen golongan muda.

 

"Fesyen, teknologi dan kesihatan serta kecantikan ialah kategori utama untuk pembelian BNPL dan purata saiz pembelian sekitar AS$$100 hingga AS$130.

 

Skim BNPL telah mencabar model perniagaan pembiayaan tempat jualan tradisional seperti kad kredit, meletakkan kuasa di tangan pengguna dan menjadikan kewangan pantas, rendah/tanpa kos, tersedia secara lebih meluas kepada kumpulan yang lebih luas – dan lebih muda.

 

Fintech telah menjadi penggerak pertama yang memperjuangkan BNPL dan COVID-19 telah mencetuskan ledakan e-dagang dan tekanan ekonomi sekali gus menjadi enjin pertumbuhan untuk perniagaan dan pemberi pinjaman e-dagang yang sedia ada.

 

Terdahulu Bank Negara Malaysia berkata ia bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk menggubal Akta Kredit Pengguna pada 2022 bagi mengukuhkan pengaturan kawal selia bagi semua aktiviti kredit pengguna termasuk  BNPL yang ditawarkan oleh pengendali bukan bank.

 

Dalam Laporan Tahunan 2021 BNM, yang diterbitkan pada 30 Mac 2022, bank pusat itu berkata skim BNPL yang ditawarkan oleh pengendali bukan bank pada masa ini tidak termasuk dalam bidang kawal selia BNM atau mana-mana agensi kawal selia.

 

Williams turut berkata BNPL lebih popular dalam kalangan pengguna muda kerana pengguna tidak memerlukan skor kredit yang baik untuk layak, justeru ia mempunyai halangan kemasukan yang lebih rendah berbanding kad kredit atau pinjaman bank.

 

"Skim BNPL bagus untuk pengguna tanpa skor kredit yang mantap, seperti golongan muda atau kumpulan berpendapatan rendah dan boleh dianggap sebagai sebahagian daripada portfolio yang seimbang kerana BNPL selalunya mempunyai kos kredit yang lebih rendah," jelas beliau lagi.

 

Mengulas kepada peratusan BNPL menyumbang kepada hutang isi rumah yang tinggi, Williams menjelaskan bahawa pengguna secara amnya cukup arif untuk menguruskan nisbah hutang-pendapatan mereka.

 

‘’Namun, skim kewangan jenis ini harus dipantau agar dalam jumlah hutang dan portfolio kredit kekal dalam keadaan terkawal,’’ kata beliau. – DagangNews.com