Perlukah kita ‘gelabah’ jika inflasi naik mendadak? | DagangNews Skip to main content

Perlukah kita ‘gelabah’ jika inflasi naik mendadak?

KADAR inflasi yang tinggi akan mengurangkan kuasa membeli dalam kalangan pengguna. - Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

Sering kali perkataan inflasi disebut-sebut terutamanya dalam media arus perdana, namun kali ini, rakyat mungkin mengezum lebih dekat terhadap aspek itu selepas penularan COVID-19. 

 

Impak hebat daripada penularan pandemik COVID-19 ke atas ekonomi global membuatkan golongan amateur juga lebih cakna terhadap kewangan mereka dengan lebih terperinci. 

 

Berbalik kepada kadar inflasi Malaysia yang dicerminkan oleh indeks harga pengguna (IHP), ia diunjurkan terus meningkat pada tahun ini walaupun masih kekal terkawal setakat suku keempat pada tahun lalu (4Q20). 

 

Lihat sahaja ramalan dibuat Bank Negara Malaysia (BNM) selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 4 Mac lalu : "Purata inflasi keseluruhan pada tahun 2021 diunjurkan lebih tinggi disebabkan terutamanya oleh harga minyak yang meningkat."

 

Kata bank pusat itu lagi, dari segi trajektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun 2021 (2Q21). 

 

Pada bulan lalu, IHP menyusut 0.2% berbanding tempoh sama pada 2020, namun  mencatatkan 1.2% peningkatan dalam perbandingan bulan ke bulan. 

 

Unjuran yang dibuat oleh BNM digabungkan dengan indikator sedia ada ‘mengesyorkan’ kadar inflasi mungkin terus meningkat, justeru, adakah kita perlu berasa bimbang dan apakah persediaan yang harus dilakukan?

 

Fenomena inflasi memang sentiasa berlaku, itu kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

 

Mohd Afzanizam

 

Jika dilihat pada purata kadar inflasi, beliau berkata, terdapat peningkatan 2.4% setiap tahun semenjak tahun 1985 sehinggalah setakat tahun lalu. 

 

“Ini bermakna kuasa membeli (purchasing power) kita akan berkurangan sebanyak 2.4%. 

 

“Maka sebagai rakyat, kita perlu cakna dan mengambil pendekatan yang proaktif bagi melindungi pendapatan kita,” katanya kepada DagangNews.com

 

Mungkin ramai yang belum melihat kesannya, tetapi kadar inflasi yang tinggi mengurangkan kuasa membeli dalam kalangan pengguna. 

 

Ekoran itu, Mohd Afzanizam menggalakkan rakyat untuk mencari jalan supaya pendapatan benar mereka kekal baik, antaranya menerusi aktiviti pelaburan.

 

“Selain itu, mencari sumber pendapatan tambahan juga mampu untuk meningkatkan kuasa membeli. 

 

“Bagi kerajaan atau pihak berkuasa pula, mereka perlu memastikan bekalan makanan, pemantauan harga barangan serta amalan perniagaan dijalankan secara menyeluruh supaya harga barang sentiasa dalam keadaan terkawal,” katanya lagi. 

 

Senada BNM, beliau tidak menafikan kenaikan kadar inflasi pada tahun ini amat berkait rapat dengan faktor lonjakan harga minyak. 

 

Perkara ini disebabkan oleh harga RON 95 dilihat berlegar melebihi RM2.00 seliter, di mana petrol itu mencatatkan harga yang lebih rendah pada tahun lalu, ujarnya lanjut.

 

“Justeru lonjakan harga minyak mentah dunia seperti Brent yang kini melebihi paras AS$60 setong bakal menyebabkan harga minyak petrol tempatan untuk turut naik. Namun, penetapan harga siling dijangka dapat mengurangkan kesan inflasi tersebut,” jelas Mohd Afzanizam.

 

Sementara itu, MIDF Research menerusi nota kajiannya pada penghujung bulan lalu masih mengekalkan unjuran inflasi bagi tahun 2021 sebanyak 1.8%.

 

Tekanan inflasi pada 2020 sebahagian besarnya tidak berlaku susulan permintaan yang lemah serta rebat bil diskaun elektrik yang diberikan oleh kerajaan, ulas firma penyelidikan itu.

 

Bagaimanapun, MIDF menjangkakan harga barangan akan meningkat pada tahun ini berikutan harga minyak mentah yang lebih tinggi di samping permintaan yang semakin meningkat akibat pemulihan ekonomi.

 

Unjuran itu terus ditekankan dalam nota kajiannya pada 12 Mac lalu, di mana inflasi pengguna dijangka terus melonjak, namun kekal terkawal dan menyokong penggunaan. 

 

Pada bulan Januari, prestasi pasaran kewangan domestik terjejas akibat gabungan faktor global dan dalam negara.

 

Di peringkat global, kadar hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang melonjak berikutan jangkaan kenaikan inflasi di negara itu telah mendorong peningkatan kadar hasil bon global. 

 

Dalam masa sama, ia menyokong pengukuhan dolar AS secara meluas. 

 

Kesannya, kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun meningkat sebanyak 5.4 mata asas dan ringgit pula menyusut nilai sebanyak 1.0% berbanding dengan dolar AS.

 

Menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan AS, Mohd Afzanizam menjangkakan kadar faedah akan dikekalkan di samping langkah Quantitative Easing yang sedang dilaksanakan. 

 

“Langkah-langkah ini seharusnya akan menghasilkan inflasi sekiranya faktor permintaan menjadi faktor yang dominan, hasil daripada pemulihan ekonomi. 

 

“Namun buat masa ini, inflasi yang disebabkan faktor kos masih dilihat sebagai faktor utama memandangkan pasaran buruh AS masih lagi lemah meskipun terdapat tanda-tanda pemulihan,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com