Permintaan eksport Lee Swee Kiat dijangka semakin pulih pada 2HFY23 didorong tempahan pelanggan baharu – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Permintaan eksport Lee Swee Kiat dijangka semakin pulih pada 2HFY23 didorong tempahan pelanggan baharu – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Ogos - AmInvestment Bank Research menjangkakan Lee Swee Kiat Group Bhd menyaksikan pemulihan permintaan eksport secara berperingkat berbanding andaian awal mengenai pertumbuhan serta-merta.

 

Hal demikian kerana kebanyakan pelanggan baharu syarikat pengilang tilam tersebut telah membuat tempahan berskala kecil sebelum meningkatkan lagi tempahan bulan ke bulan pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23).

 

Pada Mac tahun ini, kumpulan itu sedang berunding dengan tiga potensi pelanggan, di mana firma penyelidikan itu berkata dua daripadanya, Amerika Syarikat dan Australia telah membuat tempahan masing-masing pada Jun dan Julai, sementara pelanggan dari Korea Selatan sedang dalam proses penilaian yang dijangka berakhir dalam 2HFY23.

 

Lencongan perdagangan juga dilihat memberi manfaat kepada Lee Swee Kiat memandangkan ia telah menerima pelbagai tempahan baharu, walaupun dalam jumlah kecil, daripada pelanggan baharu ketika pameran perdagangan baru-baru ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berpendapat bahawa kadar penggunaan 2QFY23 boleh kekal tidak memberangsangkan pada paras semasa, 45% sehingga 50%, memandangkan pihak pengurusan tidak melihat pemulihan permintaan yang ketara dalam tempoh tersebut.

 

“Oleh itu, kami mengurangkan kadar penggunaan FY23 kami kepada 59% daripada 64% sebelumnya, berdasarkan 50% pada 2QFY23F, 60% pada 3Q dan 80% pada 4Q,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Perniagaan domestik kumpulan, bagaimanapun, mempunyai permintaan yang kekal kukuh antara April dan Jun 2023, di mana AmInvestment percaya permintaan domestik terus berkembang pada 2H2023, disokong oleh pasaran buruh yang masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan selanjutnya.

 

“Ini memandangkan (i) kadar pengangguran baru-baru ini sebanyak 3.5% dalam Mei 2023 masih lebih tinggi daripada 3.3% pada 2019, dan (b) jumlah kekosongan pekerjaan sebanyak 119,000 pada April diterjemahkan kepada purata pra-pandemik 1.5 kali sebanyak 81,000.

 

“Tambahan pula, peningkatan dalam ambang kelayakan untuk kerja lebih masa daripada RM2,000 sebulan kepada RM4,000 sebulan boleh menyokong kuasa beli pengguna,” tambahnya.

 

Firma itu mengurangkan sedikit unjuran pendapatan teras FY23 sebanyak 1% kepada RM13.9 juta daripada RM14.1 juta sebelum ini untuk mengambil kira permintaan eksport yang beransur-ansur pulih pada 2H2023 dan mengekalkan pendapatan teras FY24-25.

 

AmInvestment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) lebih tinggi pada RM1.27 sesaham daripada RM1.02 sebelumnya.

 

Pada waktu penulisan, saham Lee Swee Kiat susut 2.5 sen atau 3% kepada 80 sen, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM134.3 juta. - DagangNews.com