Permintaan India terhadap minyak sawit dijangka berkurang kesan kenaikan cukai import - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Permintaan India terhadap minyak sawit dijangka berkurang kesan kenaikan cukai import - AmInvestment

India dilaporkan menaikkan cukai import minyak masak termasuk sawit bagi melindungi petani tempatan. -Gambar hiasan ABC Machinnery
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Sept - Permintaan India terhadap minyak sawit dijangka berkurangan susulan tindakan kerajaan negara itu yang menaikkan cukai import asas ke atas minyak masak mentah dan bertapis sebanyak 20 mata peratus.

 

Menurut AmInvestment Bank Research, ini menjadikan cukai import ke atas minyak kelapa sawit, soya dan bunga matahari mentah kini mencecah 27.5% berbanding 5.5% sebelum ini manakala cukai import ke atas ketiga-tiga minyak bertapis daripada komoditi berkenaan menjadi 35.8% berbanding 13.8% pada asalnya.

 

"Perkembangan ini adalah negatif kerana ia akan mengurangkan permintaan India terhadap minyak sawit. 

 

"Inventori minyak masak negara tersebut di pelabuhan dan saluran paip berada pada 2.9 juta tan pada 1 September 2024 berbanding 3.7 juta tan setahun yang lalu. 

 

"Inventori sebanyak 2.9 juta tan adalah bersamaan dengan dua bulan purata import bulanan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Media semalam melaporkan kerjaan India telah menaikkan cukai import asas ke atas minyak masak mentah dan bertapis sebanyak 20 mata peratus.

 

Pengimport minyak masak terbesar di dunia ini sedang berusaha untuk melindungi petani yang terjejas akibat penurunan harga minyak bijian.

 

Sementara itu, jelas AmInvestment, lebih daripada 70% daripada permintaan minyak sayuran India dipenuhi melalui import. 

 

"Kami percaya apabila rizab menurun kepada tahap yang rendah, pembeli tidak mempunyai pilihan lain selain mula mengimport semula. 

 

"Dalam tempoh 2 tahun lepas, tahap inventori yang paling rendah adalah 1.7 juta tan pada Januari 2022. 

 

"Ini berlaku sebelum Perang Ukraine. Selepas Perang Ukraine, inventori minyak masak berada dalam julat antara 2.2 juta dan 3.8 juta tan sebulan," kata firma penyelidikan itu.

 

Sementara itu, AmInvestment percaya Malaysia dan Indonesia akan mengalihkan eksport kelapa sawit mereka ke negara lain seperti di Eropah, Afrika, atau Timur Tengah jika permintaan India menurun. 

 

Menurutnya, negara-negara EU difahamkan sedang menyimpan stok minyak sawit sebelum EUDR (Peraturan Penebangan Hutan EU) dilaksanakan pada 30 Disember 2024. 

 

"India adalah pembeli terbesar produk kelapa sawit Malaysia, menyumbang 23% daripada eksport negara pada tahun 2023.

 

"Kami mengekalkan NEUTRAL terhadap sektor perladangan. Kami percaya bahawa harga minyak soya dan jagung yang lemah akan mengehadkan potensi kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM). 

 

"Anggaran harga purata MSM 2024 kami adalah RM4,000/tan untuk penanam Malaysia tulen," ujarnya. - DagangNews.com