Agrobank, Borong tawarkan pembiayaan RM300 juta kepada PMKS melalui Program Digital Niaga | DagangNews Skip to main content

Agrobank, Borong tawarkan pembiayaan RM300 juta kepada PMKS melalui Program Digital Niaga

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (kiri) dan Pengarah Urusan Borong, Aizat Rahim (kanan) menandatangani MoU disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup (tengah) pada Jumaat lepas.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - Agrobank menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Borong menawarkan pembiayaan berjumlah RM300 juta kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS) melalui Program Digital Niaga.

 

Inisiatif tersebut merupakan kerjasama strategik bagi membangunkan ekosistem berasaskan perniagaan digital pertanian dan agrobisnes. 

 

Menurut Agrobank dan Borong, perkongsian itu akan memberi akses pembiayaan komprehensif dan menawarkan pilihan pembiayaan yang berpatutan kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian. 

 

"Melalui platform digital Borong, Agrobank dapat menyediakan pembiayaan kepada PMKS mengikut keperluan masing-masing untuk pembangun serta pengembangan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Mengenai program itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin menjelaskan ia juga memberikan latihan keusahawanan.

 

"Akses kepada latihan keusahawanan ini dapat membantu para peniaga memperkukuh strategi perniagaan supaya mereka dapat meningkatkan daya saing di pasaran yang semakin mencabar.

 

"Tambahan pula, perniagaan inovatif dan berdaya tahan akan memacu pembangunan ekonomi negara terutamanya dalam memasarkan produk-produk tempatan yang berkualiti tinggi melalui platform digital terutamanya bagi sektor pertanian," ujar beliau. 

 

Pengarah Urusan Borong, Aizat Rahim berkata, Program Digital Niaga menyediakan platform kepada PMKS melonjakan perniagaan mereka. 

 

"Program ini memberikan akses mudah kepada mereka mencari kemudahan digital yang sesuai dan akses kepada sumber kewangan bagi meningkatkan pendapatan dan memperkasakan mereka melalui rumusan dan rangkaian perniagaan," ulas beliau. 

 

Melalui kerjasama ini, Agrobank dan Borong komited untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang baharu untuk 15,000 PKMS di Malaysia. 

 

Sementara itu, perkongsian tersebut juga berpotensi menjana impak ekonomi bernilai RM8.6 bilion dalam tempoh 3 tahun.

 

Majlis perjanjian ini telah disempurnakan oleh Ahmad Badli Shah dan Aizat Rahim serta disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup di MAEPS Serdang bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2024 (MAHA 2024).- DagangNews.com