Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Permintaan terhadap jenama kenderaan nasional yang lebih kukuh dijangka lonjak jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 14% sehingga mencecah 570,000 pada tahun 2021.
Ramalan yang dibuat oleh CGS-CIMB Research itu melebihi jangkaan TIV 550,000 oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), berdasarkan pelancaran model baharu dan kempen promosi berterusan oleh pengedar.
“Proton dan Perodua melancarkan model baharu masing-masing seperti X50 dan kenderaan kompak SUV, D55L.
“Kami juga menjangkakan pemulihan lebih baik daripada pembuat kenderaan Jepun seperti Honda, Nissan dan Toyota yang didorong oleh pelancaran baharu seperti Honda City, Nissan Almera dan rupa baharu Toyota Yaris,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya.
TIV pada Oktober 2020 terus mengukuh apabila melonjak 0.4% berbanding bulan sebelumnya dan 5.2% berbanding Oktober 2019, mencecah 56,670 unit.
Prestasi itu terus didorong oleh permintaan tinggi terhadap kenderaan penumpang berbanding kenderaan komersial yang menunjukkan penurunan 2.9% daripada September 2020.
Bagi MIDF, trend TIV yang terus mengukuh itu secara umum menyokong jangkaan firma berkenaan terhadap titik perubahan pendapatan sektor automotif daripada suku ketiga 2020 (3Q20).
Ini terutamanya didorong oleh insentif percutian cukai, wang tunai yang banyak disalurkan kepada pengguna di bawah pakej rangsangan, kadar faedah yang rendah dan peningkatan makro yang beransur-ansur.
“Kami menekankan semula ramalan terhadap perolehan sektor itu pada 3Q20 yang bakal mencatatkan pemulihan kukuh berdasarkan TIV Julai hingga September 2020.
“Secara keseluruhan, TIV 3Q20 mencatatkan 167,131 unit, meningkat 14% berbanding tempoh sama pada tahun lalu dan 147% daripada suku sebelumnya.
“Malah, TIV 3Q20 paling kukuh sepanjang tempoh tiga tahun lalu,” tambah MIDF dalam nota kajiannya.
CGS-CIMB dan MIDF masing-masing meletakkan penarafan ‘neutral’ dan ‘positif’ terhadap sektor automotif.
Antara syarikat yang diberikan saranan ‘beli’ atau ‘tambah’ saham mereka adalah Bermaz Auto (TP: RM1.75); UMW (TP: RM3.10); DRB-Hicom (TP: RM2.35); dan Sime Darby Berhad (TP: RM2.65). - DagangNews.com