Permintaan lemah pasaran domestik dan Vietnam, untung bersih Unimech susut kepada RM7.3 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Permintaan lemah pasaran domestik dan Vietnam, untung bersih Unimech susut kepada RM7.3 juta pada 3QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Nov - Pengeluar injap tempatan, Unimech Group Berhad mencatatkan penyusutan untung bersih kepada RM7.3 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) akibat permintaan lemah daripada pasaran tempatan dan Vietnam bagi perniagaan teras mereka.

 

Bagi suku berkenaan, kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM84.5 juta atau RM6 juta lebih rendah berbanding RM90.5 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

 

"Penurunan hasil turut mengurangkan keuntungan sebelum cukai sebanyak 33.3% atau RM5.9 juta kepada RM11.9 juta berbanding RM17.8 juta yang dilaporkan pada suku tahun sebelumnya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu juga merekodkan hasil sebanyak RM245.5 juta bagi tempoh kewangan berakhir 30 September 2023 (9MFY23), mewakili penyusutan sebanyak RM5.2 juta atau 2.1% berbanding tempoh kewangan sebelumnya berakhir 30 September 2022 sebanyak RM251 juta.

 

Penurunan hasil itu disebabkan oleh permintaan yang lebih rendah dalam segmen perniagaan lain khususnya dalam pasaran Malaysia ditambah dengan permintaan yang lebih rendah dalam segmen elektronik.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, ekonomi dunia dijangka terjejas oleh ketegangan geopolitik, perang, gangguan rantaian bekalan dan inflasi pada 2023.

 

Bagaimanapun, kumpulan kekal fokus dan meneruskan strategi kompetitifnya dalam mengukuhkan jenamanya serta meningkatkan kedudukan pasarannya selain kecekapan operasi bagi meningkatkan lagi daya saingnya.

 

"Dengan asas yang kukuh di negara-negara yang kami beroperasi pengurusan berpendapat bahawa kumpulan akan merekodkan prestasi memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023," katanya. - DagangNews.com