Permintaan lemah produk pembungkusan plastik, Kenanga Research 'potong' unjuran pendapatan Thong Guan sebanyak 7% bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

Permintaan lemah produk pembungkusan plastik, Kenanga Research 'potong' unjuran pendapatan Thong Guan sebanyak 7% bagi FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Nov - Kenanga Research menyemak turun unjuran pendapatan Thong Guan Industries Berhad sebanyak 7% bagi FY24 bagi mencerminkan permintaan yang lemah bagi produk pembungkusan plastik kesan daripada persekitaran global yang mencabar.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga berdepan beberapa cabaran lain termasuk kenaikan mendadak dalam kos resin selain permintaan lemah kesan kemelesetan global berpanjangan serta kekurangan tenaga kerja dan gangguan rantaian bekalan.

 

"Kami mengekalkan pandangan bahawa pemulihan permintaan produk pembungkusan plastik masih bergantung kepada ekonomi global yang lebih baik.

 

"Bagaimanapun, kami menyukai kumpulan itu kerana potensi pertumbuhan sektor pembungkusan plastik domestik kerana pengeluar antarabangsa semakin hilang daya saing kesan peningkatan kos pengeluaran selain dorongan agresif di pasaran Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

 

"Kestabilan pendapatan kumpulan disokong oleh portfolio produk yang pelbagai dan pangkalan pelanggan yang terus berkembang selain rancangan pengembangannya untuk produk premium, seperti filem regangan nano, beg kurier, pembalut makanan dan beberapa beg industri," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) susut 19.3% kepada 21.9 juta berbanding RM27.12 juta pada tahun sebelumnya berikutan hasil yang lebih rendah.

 

Hasil suku tahunan susut 11% kepada RM317.38 juta pada 3QFY23 berbanding RM356.5 juta pada 3QFY22, disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah bagi beg sampahnya, dan bahagian bungkus makanan dan beg kurier, ditambah dengan harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah untuk suku semasa.

 

Kenanga Research berkata, perbelanjaan jualan dan pengedarannya melonjak 32% kepada RM9.1 juta disebabkan peningkatan pemasaran di Eropah dan AS, dan aktiviti promosi yang agresif bagi perniagaan teh dan kopi.

 

Katanya, walaupun perbelanjaan yang lebih tinggi ini akan berulang dalam beberapa suku akan datang tetapi ia dilihat sebagai keperluan strategik bagi mengukuhkan pengedaran, kesedaran jenama dan pasaran sedia ada seterusnya serta berkembang ke pasaran baharu. 

 

"Kami menjangkakan kos ini akhirnya membuahkan hasil dari segi peningkatan jualan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM2.86 berbanding RM3.05 sesaham. - DagangNews.com