KUALA LUMPUR 14 Ogos - Pelancongan perubatan halal merupakan segmen yang tidak boleh dilepaskan industri penjagaan kesihatan Malaysia kerana permintaannya semakin meningkat di rantau ini dan global keseluruhannya.
RHB Investment Bank berkata, Malaysia dan Singapura menerima bahagian besar pelancong perubatan dari negara-negara majoriti Muslim seperti Indonesia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan lain-lain.
Firma penyelidikan itu berkata, dengan permintaan yang semakin meningkat, hospital di seluruh dunia semakin giat meningkatkan usaha untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pesakit Muslim dengan keperluan dan kehendak penjagaan kesihatan tertentu.
"Penyedia perkhidmatan pelancongan perubatan yang mesra Muslim perlu mempunyai pemahaman yang mendalam tentang komponen perkhidmatan perubatan Islam untuk memastikan kepuasan pesakit yang datang dari pelbagai negara.
"Sebagai contoh, penyedia perkhidmatan kesihatan yang menawarkan ubat-ubatan halal seperti kapsul gelatin dan insulin yang tidak mengandungi bahan babi.
"Pengendali penjagaan kesihatan juga perlu mempertimbangkan menawarkan perkhidmatan mesra Muslim seperti makanan halal, papan tanda kiblat, kemudahan solat, menyediakan doktor dan jururawat yang sama jantina dengan pesakit dan jika diperlukan, perkhidmatan pengurusan jenazah Islam," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Investment berkata, pengukuhan dolar Singapura menjadikan Republik itu destinasi yang kurang menarik bagi pelancong kesihatan yang mana pada 2023 Malaysia dan Thailand adalah pemenang terbesar dalam pelancongan kesihatan di ASEAN.
Kata firma itu, Thailand diakui sebagai penyumbang pendapatan pelancongan kesihatan terbesar di rantau ASEAN, dengan anggaran pendapatan sebanyak AS$850 juta pada tahun 2023.
"Sebaliknya, pendapatan pelancongan kesihatan Malaysia adalah sebanyak AS$444 juta (RM2 bilion) manakala pendapatan pelancongan kesihatan Singapura dianggarkan sekitar A$250-AS$270 juta pada tahun yang sama.
"Dengan kekuatan dolar Singapura yang menjadikan Singapura kurang menarik sebagai destinasi pelancongan kesihatan, kami melihat Thailand dan Malaysia mendapat manfaat daripada peralihan minat pelancong perubatan yang mencari perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dengan nilai untuk wang.
"Mereka juga akan mendapat manfaat daripada perjalanan tanpa visa ke kedua-dua negara tersebut," jelasnya.
Mengenai kos, RHB Investment berkata, Malaysia menawarkan beberapa perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik untuk mereka yang mencari penjagaan kesihatan yang mampu milik tanpa mengorbankan kualiti.
Kata firma itu, sebenarnya, kos prosedur perubatan di Malaysia sering kali jauh lebih rendah berbanding dengan banyak negara Barat serta rakan serantau seperti Singapura, menjadikannya pilihan menarik bagi individu yang ingin berjimat.
"Kos rawatan pembedahan pintasan arteri koronari grafting (CABG) di Malaysia bermula pada AS$18,000. Ini jauh lebih rendah berbanding dengan caj anggaran AS$56,000 dari fasiliti di Singapura.
"Selain itu, kos ubat-ubatan dan perkhidmatan penjagaan susulan juga jauh lebih murah di Malaysia. Rehabilitasi tipikal untuk pesakit strok mungkin berharga RM100-RM300 (setiap sesi) di Malaysia, sementara kos di Singapura boleh mencecah SGD$169 dan ke atas.
"Dengan menawarkan perkhidmatan selepas rawatan yang bernilai untuk wang, Malaysia membolehkan pesakit menerima penjagaan perubatan yang menyeluruh tanpa membebankan kewangan mereka. Ini menjadikannya destinasi ideal bagi individu yang mencari rawatan perubatan atau prosedur yang mungkin tidak ditanggung oleh insurans mereka, atau bagi mereka yang sekadar ingin menjimatkan wang dalam perbelanjaan perubatan," ujarnya.
Sementara itu, RHB Investment berkata, divisyen pelancongan kesihatan KPJ Healthcare merangkumi rangkaian 10 hospital di Malaysia yang ditetapkan untuk melayani pesakit antarabangsa.
Katanya, kesemua 10 hospital tersebut diakreditasi oleh Malaysian Society for Quality in Health (MSQH), dengan empat daripadanya mempunyai akreditasi JCI.
"Selain itu, kehadiran KPJ di luar negara telah diperkukuhkan dengan penubuhan International Patient Centre (IPC), sebuah pusat sehenti untuk perkhidmatan perjalanan dan visa pesakit antarabangsa.
"IPC KPJ terletak terutamanya di Indonesia. KPJ Kuching kini merupakan penyumbang pendapatan pelancongan kesihatan terbesar kumpulan, menyumbang 24% daripada jumlah pendapatan pelancongan kesihatan KPJ pada tahun 2023.
"Hospital ini mendapat manfaat daripada kemasukan pelancong perubatan terutamanya dari Kalimantan Barat. Terdekat dengannya adalah KPJ Johor (18% daripada pendapatan pelancongan kesihatan Kumpulan), dengan sebahagian besar pelancong perubatan datang dari Batam," katanya yang mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran (TP), RM1.46. - DagangNews.com