Permintaan sarung tangan Mah Sing terima sambutan global | DagangNews Skip to main content

Permintaan sarung tangan Mah Sing terima sambutan global

KUALA LUMPUR 30 Jun – Mah Sing Group Berhad menerusi subsidiari berkaitan perubatan, meraih tempahan berjangka panjang bagi sarung tangan getahnya yang menggunakan sehingga 4 barisan mesin pengeluaran.

 

Pada masa yang sama, dua lagi barisan pengeluaran baharu telah disiapkan di kilang berautomasi tinggi di Kapar, bersedia untuk memenuhi tempahan baharu.

 

Selain itu, 6 lagi barisan mesin pengeluaran dijadual dapat digunakan pada suku ketiga tahun ini dan keseluruhan 12 barisan mesin pengeluaran ini merupakan Fasa 1 dalam perniagaan pembuatan sarung tangan getah Mah Sing yang dijangka menyumbang besar kepada perolehan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 2021.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Datuk Ho Hon Sang berkata, permintaan teguh tersebut menunjukkan keyakinan pasaran terhadap Mah Sing sebagai pengeluar sarung tangan baharu yang berwibawa untuk menghasilkan produk berkualiti untuk pasaran global.

 

“Kami akan memberi tumpuan kepada penambahan kapasiti di kilang kami bagi memenuhi tempahan yang sah, dan setakat ini, kami beroperasi mengikut jadual.

 

“Kami juga berterusan menerima pertanyaan daripada pengedar dan pelanggan dari seluruh dunia, dan kini sedang berunding dengan lebih banyak pihak berminat untuk memuktamadkan tempahan mereka.

 

“Kami merancang untuk meluaskan lagi operasi jika permintaan berterusan melangkaui bekalan,” katanya semasa mesyuarat agung tahunan ke-29 syarikat yang diadakan secara maya hari ini.

 

Semua resolusi di dalam AGM tersebut diluluskan oleh pemegang saham termasuk tahap tunggal pertama dan terakhir dividen 1.66 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan 2020.

 

Mah Sing telah secara konsisten membayar dividen pada kadar sekurang-kurangnya 40%, berpegang teguh kepada komitmennya untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham dan pada masa sama, kekal cermat dan berdisiplin bagi memastikan pertumbuhan kekal berjangka panjang.

 

mahsing

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pihaknya menyaksikan perubahan sentimen secara beransur-ansur terhadap pasaran hartanah awal tahun ini.

 

“Kita lihat angka jualan positif untuk lima bulan pertama kami, mencecah RM650.5 juta atau 40% daripada sasaran jualan 2021 kami,” kata beliau. – DagangNews.com