Permohonan geran Yayasan Hasanah kini dibuka hingga 15 Mac 2023 | DagangNews Skip to main content

Permohonan geran Yayasan Hasanah kini dibuka hingga 15 Mac 2023

Datuk Shahira Ahmed Bazari
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Feb - Yayasan Hasanah mengumumkan bahawa permohonan kini dibuka untuk Geran Hasanah 2023, yang mana pemohon berjaya akan layak mendapat pendanaan sehingga RM2.5 juta dalam tempoh tiga tahun, bergantung kepada jenis cadangan projek.

 

Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata, pihaknya melihat bahawa pemain dalam sektor impak sosial Malaysia mempunyai semangat dan berani dalam usaha mereka. 

 

Malah katanya, ramai telah melahirkan impak mendalam dalam komuniti yang mereka perkasakan. 

 

"Melalui rakan kerjasama geran kami, Hasanah secara langsung telah menyentuh kehidupan 1.3 juta insan sejak tahun 2015 yang mana menjadi bukti betapa signifikannya skala impak yang mampu dibawakan pencetus perubahan di negara kita. 

 

"Lebih daripada sekadar pemberi geran, Hasanah berdiri teguh bersama rakan kolaborasi kami untuk melangkah lebih jauh ke hadapan iaitu memanfaatkan dan membangunkan kapasiti, skala serta potensi kita secara kolektif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, program geran Hasanah bertujuan untuk menangani antara cabaran sosial paling kritikal di bawah lima bidang tumpuan utama Hasanah iaitu pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar, seni dan ruang awam, serta pengetahuan. 

 

Hasanah bekerjasama dengan perusahaan sosial dan organisasi masyarakat sivil untuk mencapai impak yang mereka citakan.

 

 

hasanah

 

 

Menurut Shahira, melalui Geran Khas Hasanah 2022, Dana Perusahaan Sosial Hasanah dan Seni Sepanjang Musim (ArtsFAS), lebih 160 projek impak sosial serta program seni, warisan dan budaya disokong geran Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan berjumlah RM55 juta.

 

Dalam pada itu, organisasi Malaysia yang layak dijemput untuk memohon dari sekarang hingga 28 Februari 2023, yang mana pemohon yang berminat dijemput untuk terlebih dahulu membuat penilaian kelayakan masing-masing. 

 

Selepas pengesahan kelayakan, pemohon boleh mengemukakan permohonan geran mereka mulai 15 Februari.

 

Pemohon yang berminat juga digalakkanmenghadiri bengkel yang bakal menerangkan cara-cara memohon dengan terperinci. Bengkel Geran Hasanah 2023 akan dianjurkan dari 20 Februari hingga 1 Mac di beberapa lokasi di seluruh Malaysia, iaitu Johor, Kelantan, Perak, Sarawak dan Lembah Klang.

 

Untuk maklumat terkini dan jadual bengkel, layari yayasanhasanah.org/hasanah-grant-2023/ dan ikuti Yayasan Hasanah di media sosial. - DagangNews.com