KUALA LUMPUR 12 Okt - Permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah terus meningkat dengan data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan kenaikan 4.5% bulan ke bulan kepada RM53.4 bilion pada Ogos 2022.
Penganalisis MIDF Research, Jessica Low Jze Tieng berkata, permohonan pinjaman terus kekal stabil pada bulan tersebut sekali gus membuktikan permintaan hartanah tidak terjejas dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).
Katanya, permintaan terhadap hartanah disokong oleh pembukaan semula ekonomi, berdasarkan kepada kenaikan 66.1% tahun ke tahun berbanding Ogos 2021 yang terjejas akibat sekatan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.
"Data BNM ini juga menunjukkan jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah meningkat sedikit kepada RM23.3 bilion (meningkat 2.4% bulan ke bulan) pada Ogos 2022, berbanding penurunan 9% bulan ke bulan pada Julai 2022.
"Peningkatan ini disebabkan terutamanya permohonan pinjaman hartanah yang lebih tinggi pada Ogos, secara tidak langsung mengurangkan peratusan yang lebih rendah daripada jumlah pinjaman diluluskan berbanding jumlah pinjaman dipohon sebanyak 43.6% pada Ogos berbanding 44.5% pada bulan sebelumnya," katanya dalam nota kajian hari ini.
Setakat tahun ini, BNM telah menaikkan OPR sebanyak tiga kali dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari kepada 2.5%.
Pada Ogos, bank pusat mendapati pembiayaan bersih meningkat sebanyak 6.1% didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman terkumpul (6.8%) dan bon korporat (4.3%).
Pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 6.5% berbanding 6.1% pada Julai dalam keadaan pertumbuhan yang stabil merentas kebanyakan tujuan.
Pertumbuhan pengeluaran pinjaman mencerminkan pertumbuhan permohonan pinjaman yang mampan, terutamanya untuk pembelian rumah dan kereta.
Menurut Jze Tieng, kelulusan pinjaman yang lebih tinggi itu adalah sejajar dengan sedikit pemulihan dalam jualan hartanah baharu bagi pemaju.
"Bagi asas tahunan, jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah pada Ogos 2022 melonjak sebanyak 93%, disebabkan oleh asas yang rendah pada Ogos 2021.
"Ia juga didorong peningkatan peratusan jumlah pinjaman yang diluluskan berbanding jumlah pinjaman yang dipohon sebanyak 43.6% pada Ogos 2022 berbanding 37.5% pada Ogos 2021," jelasnya.
Beliau berkata, unit kediaman tidak terjual menunjukkan pengurangan pada suku kedua kepada 34,092 unit daripada 35,592 unit pada suku pertama berdasarkan data yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Namun, katanya, unit tidak terjual itu masih kekal tinggi melebihi 30,000 unit setelah ia meningkat melebihi 35,000 unit pada suku keempat 2021 disebabkan sekatan pergerakan yang dilaksanakan pada tempoh tersebut.
"Oleh itu, kami berpendapat sektor ini masih terus dipengaruhi isu ini memandangkan unit tidak terjual masih kekal tinggi pada suku berkenaan," katanya.
Secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah berikutan masalah kediaman tidak terjual yang masih tinggi.
Firma itu menamakan Mah Sing Group Bhd. dan IOI Properties Group Bhd. sebagai pilihan utama bagi sektor tersebut. - DagangNews.com