Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Nov - Permohonan untuk Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) kini dibuka kepada pelanggan individu B50 yang layak sehingga 31 Januari 2022.
Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berkata, URUS tersedia untuk pelanggan B50 yang berada di bawah program bantuan pembayaran balik sedia ada yang ditawarkan oleh bank mulai 30 September 2021 dan memenuhi kriteria untuk program tersebut.
"Kriteria yang layak termasuklah mereka yang berpendapatan kasar bulanan isi rumah sebanyak RM5,880 atau lebih rendah dan kehilangan pekerjaan atau pendapatan berkurangan sekurang-kurangnya 50 peratus, serta mereka yang mendapat pinjaman/kemudahan pembiayaan berbayar iaitu tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan untuk URUS.
"Melalui URUS, AKPK akan menyediakan pelan kewangan yang dilakukan secara peribadi dan holistik kepada pelanggan, dengan mengambil kira keadaan kewangan pelanggan dan keupayaan untuk membayar balik semua obligasi pembiayaan," katanya dalam kenyataan bersama di sini hari ini.
Tambahnya, pelanggan B50 yang layak boleh memohon URUS secara terus dengan bank, dan mereka yang ingin mendapatkan bantuan lanjut boleh menghubungi bank melalui perbankan internet atau telefon, atau pergi ke mana-mana cawangan.
"Pelanggan yang mempunyai kemudahan pinjaman/pembiayaan daripada pelbagai bank hanya perlu memohon kepada mana-mana bank yang mana mereka kini mempunyai kemudahan berbayar di bawah program bantuan pembayaran semula sedia ada.
"Borang permohonan URUS dan butiran proses disediakan di laman web bank dan di cawangan mereka, dan butiran lanjut tentang URUS juga tersedia di laman web persatuan-persatuan perbankan dan AKPK," jelasnya.
Persatuan itu berkata, institusi perbankan kekal komited untuk membantu pelanggan mereka semasa tempoh mencabar yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan menyedari pelanggan memerlukan sedikit masa untuk bangkit semula dari segi kewangan apabila ekonomi beransur-ansur pulih.
"Sehubungan itu, pelanggan yang tidak memenuhi kriteria untuk URUS dinasihatkan menghubungi bank masing-masing untuk membincangkan pilihan pembayaran balik kemudahan pinjaman/pembiayaan lain yang sesuai dengan keadaan kewangan.
"Mengenai perkara yang berkaitan dengan bantuan pembayaran balik, pelanggan diingatkan untuk tidak terlibat dengan mana-mana pihak ketiga yang mengaku sebagai ejen/wakil bank, kerana bank dan AKPK tidak melantik atau memberi kuasa kepada mana-mana pihak atau ejen ketiga untuk bertindak bagi pihak mereka berhubung dengan URUS ini," katanya. -DagangNews.com