KUALA LUMPUR 25 Okt - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam memperkasakan bahasa Melayu yang baik dan betul dan secara tidak langsung memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
DBP berkata, sebagai organisasi yang bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu, pihaknya telah mengadakan pelbagai usaha seperti Dekad Bahasa Kebangsaan, Karnival Bahasa dan Sastera, Program Semarak Bahasa Kebangsaan dan sebagainya.
Katanya, DBP juga menawarkan pelbagai kursus untuk penguasaan bahasa Melayu melalui Akademi DBP.
"DBP menyambut baik dan menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika berbahas dalam Dewan Rakyat pada 23 Oktober 2023 yang menegaskan bahawa pemohon kewarganegaraan Malaysia perlu lulus ujian berbahasa Melayu," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kenyataan Saifuddin berhubung ujian penguasaan Bahasa Melayu dikenal pasti sebagai antara punca kebanyakan pemohon warga emas gagal bagi permohonan taraf warganegara Malaysia.
Katanya, ini kerana ujian itu menjadi syarat bagi permohonan berkenaan.
Menurut DBP, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 19 berkaitan dengan Kewarganegaraan melalui Penaturalisasian yang menyebut "Kerajaan Persekutuan boleh memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati" yang salah satu syaratnya ialah "bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu".
Katanya, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sememangnya perlu dikuasai oleh semua warganegara.
"Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) menyatakan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud urusan rasmi pada peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun.
"Bahasa kebangsaan melambangkan identiti kebangsaan suatu bangsa dan negara," menurut DBP. - DagangNews.com