Zakaria memberi penjelasan mengenai program yang dijanjurkan Pernas kepada usahawan yang hadir di Program BizFrancais di Dewan Serbaguna Libaran, Sandakan.
NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Nov - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) meluluskan pembiayaan sebanyak RM7.7 juta selepas menganjurkan lapan siri Program BizFrancais di beberapa negeri sejak 2019.
Pengerusi Pernas dan juga merupakan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd. Edris berkata, program berkenaan sudah dianjurkan di beberapa lokasi termasuk Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan, Langkawi, Johor, Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, dalam edisi kali ini pihaknya menganjurkan program berkenaan di Dewan Serbaguna Libaran, Sandakan yang merupakan lokasi pertama bagi siri jelajah Program BizFrancais pada tahun tahun ini.
"Bagi program di Sandakan ini, kami menyasarkan potensi pembiayaan sebanyak RM2.97 juta.
"Bermula 2017 sehingga kini, Pernas telah memberikan pembiayaan sebanyak RM5.38 juta kepada para usahawan di Sabah," katanya dalam satu kenyataan.
Hadir sama di program tersebut termasuk, Timbalan Presiden 1 Majlis Perbandaran Sandakan, Faridah Giau; Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor dan Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Francais Pernas, Mazlan Ibrahim.
Sementara itu, Zakaria berkata, program itu merupakan satu bentuk usaha sama yang baik bagi memperkasakan lagi usahawan setempat dengan menceburi perniagaan francais serta membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi tempatan melalui program Business In Transformation (BIT) yang menggalakkan peniaga-peniaga PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui sistem francais.
Katanya, penganjuran program itu adalah selari dengan fokus Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yang mahu melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaing tahan seterusnya memperkasa ekonomi yang makmur dan mampan.
Program BizFrancais Sabah ini berjaya menarik minat lebih 250 usahawan, bakal usahawan dan orang awam yang berminat untuk mendapatkan ilmu mengenai keusahawan terutama bidang francais serta bantuan yang disediakan Pernas.
Program itu merupakan inisiatif Pernas bagi pembentukan usahawan yang komprehensif dengan membantu usahawan dan bakal usahawan bagi mencari peluang menceburi bidang perniagaan khususnya perniagaan francais.
Program selama satu hari itu meliputi sesi perkongsian ilmu daripada usahawan francais, taklimat dari agensi kerajaan seperti Pernas, MPS dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta klinik perniagaan bersama jenama francais, pra-francais dan jenama di bawah program BIT.
Terdapat 21 jenama yang turut menyertai program hari ini termasuklah jenama francais terkemuka seperti Marrybrown, Mok Corner, Gloria Jean’s Coffees, Polperro, Lesong Mart.
Tidak terkecuali usahawan tempatan yang lahir dari Program BIT Pernas seperti Cendol Ina, Alap-Alap, Rollie Cafe dan banyak lagi.-DagangNews.com