KUALA LUMPUR 12 Mei - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berjaya memperoleh pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) berkuat kuasa 27 Januari 2023.
Pensijilan yang dianugerahkan oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd dan The International Certification Network, IQNet itu menjadi bukti pengamalan kepada piawaian tadbir urus yang baik dan teguh.
Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, ISO 37001:2016 ABMS mematuhi prinsip liabiliti korporat seperti yang telah ditetapkan di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Pindaan 2018), sekali gus membuktikan komitmen pihaknya terhadap perkhidmatan yang berintegriti demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.
"Pensijilan ini menunjukkan komitmen berterusan Pernas dalam mewujudkan persekitaran adil, bersih dan bebas rasuah serta memberikan perkhidmatan berkualiti dan profesional dalam aktiviti perniagaan harian kami.
"Malah, pengiktirafan ini mengukuhkan lagi tahap kedudukan sikap sifar toleransi Pernas terhadap semua bentuk rasuah dan korupsi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut hadir pada penyerahan pensijilan tersebut, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Roziah Abudin, Ahli Lembaga Pengarah Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek dan Timbalan Setiausaha Bahagian Sektor Komersial Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz.
Sebelum menerima pengiktirafan ini, Pernas telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi membasmi dan memberi kesedaran kepada warga kerja mengenai kepentingan menjauhi serta mengelakkan elemen rasuah atau korupsi di dalam melaksanakan tugasan harian.
Ini termasuk mengemaskini Polisi Anti-Rasuah dan Korupsi, Polisi Tiada Pemberian Hadiah, Ikrar Bebas Rasuah dan Integriti Korporat serta mewujudkan saluran pemberian maklumat kepada warga kerja untuk melaporkan kes disyaki berkenaan dengan perlakuan tidak wajar.
Selain itu, Pernas turut membangunkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (Pernas OACP) berdasarkan inisiatif mandatori di bawah Strategi 2, Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) iaitu memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dalam sektor awam. - DagangNews.com