Pernas terus perkasa usahawan Pantai Timur melalui Program BizFrancais Terengganu 2022 | DagangNews Skip to main content

Pernas terus perkasa usahawan Pantai Timur melalui Program BizFrancais Terengganu 2022

KUALA TERENGGANU 17 Okt - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) meneruskan inisiatifnya untuk memperkasakan usahawan di Wilayah Pantai Timur melalui Program BizFrancais Terengganu 2022 dengan sasaran potensi pembiayaan sebanyak RM4 juta.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mazlan Ibrahim berkata, program yang berlangsung semalam di Yayasan Pembangunan Usahawan merupakan lokasi ketiga bagi siri jelajah Program BizFrancais tahun ini.

 

Beliau berkata, sebelum ini program itu telah diadakan di Pulau Pinang serta Melaka dan akan diteruskan di Perak dan Sarawak pada November dan Disember 2022.

 

“Dalam program yang sama, Pernas telah menjemput 11 pempamer yang terdiri daripada enam francaisor iaitu Marrybrown; Gpharmax; Dapur Mama; Akie Burger; Smart Reader dan NorraRich, dua para-francaisor iaitu Kunyek 2 dan 1901 manakala tiga usahawan Business In Transformation (BIT) iaitu Mekeria; Rollie Cafe dan Suri yang mempamerkan model perniagaan mereka serta mempromosikan model perniagaan kepada para peserta menerusi sesi ‘business pitching’.

 

“BizFrancais Terengganu 2022 telah berjaya menarik minat lebih 100 peserta dan program selama satu hari ini meliputi taklimat daripada Pernas, forum kisah kejayaan bersama usahawan, ‘business pitching’ dan klinik perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Katanya, Pernas juga bermatlamat untuk menjana pertumbuhan ekonomi dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan terutamanya dalam bidang francais, khususnya di Terengganu menerusi program BizFrancais Terengganu 2022.

 

Mazlan berkata, sejak diperkenalkan pada 2019, Pernas telah menganjurkan 13 siri program BizFrancais termasuk di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan, Langkawi, Johor, Sabah dan Sarawak.

 

Katanya menerusi pelaksanaan program ini di Pulau Pinang dan Melaka, Pernas telah menerima potensi permohonan pembiayaan sebanyak RM13 juta.

 

“Program ini merupakan usaha untuk mempromosikan perniagaan francais secara menyeluruh dengan kerjasama di antara Pernas bersama kerajaan negeri, persatuan usahawan termasuk badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan di setiap negeri yang disasarkan.

 

“Saya berharap  para peserta mendapat manfaat daripada penganjuran BizFrancais ini.  Pernas yakin penganjuran program ini yang mencakupi setiap aspek perniagaan dari  segi pembiayaan hinggalah kepada prosedur pendaftaran perniagaan mampu menjawab semua persoalan dan keraguan para peserta mengenai perniagaan francais,” katanya.

 

Pernas yang ditubuhkan pada 1969 merupakan syarikat pegangan pelaburan milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan diletakkan di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. - DagangNews.com