Perniagaan pawagam PPB dijangka terus rugi - MIDF | DagangNews Skip to main content

Perniagaan pawagam PPB dijangka terus rugi - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Segmen pameran dan pengedaran filem PPB Group Berhad dijangka terus mencatatkan kerugian dalam jangka masa akan datang. 

 

Menurut MIDF Research, PPB menyaksikan kemerosotan dalam beberapa perniagaan utamanya yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

 

Disebabkan itu, pameran dan pengedaran filem serta produk pengguna kumpulan merupakan segmen yang paling terjejas. 

 

“Dalam pada itu, kami juga terus bimbang terhadap prestasi segmen bijirin dan perniagaan tani serta produk pengguna ekoran harga komiditi pertanian yang lebih tinggi, di peringkat global. 

 

“Namun, kami menjangkakan sumbangan daripada syarikat bersekutunya, Wilmar International Ltd akan terus memberi sokongan kepada perolehan kumpulan. 

 

“Setelah mengambil kira semua faktor berkenaan, kami mengekalkan saranan ‘beli’ saham kumpulan buat masa ini. Harga sasaran (TP) disemak turun kepada RM20.95 daripada RM21.74 yang mencerminkan unjuran jumlah pulangan pada kadar 14.92%,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.

 

Sebagai rekod, kumpulan menerusi PPB Leisure Holdings Sdn Bhd memegang 100% kepentingan di dalam Golden Screen Cinemas Sdn Bhd (GSC).

 

Menurut laman web kumpulan, GSC ketika ini mempunyai 356 pawagam di 36 lokasi.

 

Pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21), perolehan ternormal PPB menyusut 19.2% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM284.4 juta susulan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen bijirin dan perniagaan tani serta produk pengguna kumpulan. 

 

Namun, bagi tempoh separuh pertama FY21 (1HFY21), kumpulan menyaksikan perolehan ternormal menokok 11.4% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM535.3 juta, terutamanya dipacu oleh Wilmar.

 

AmInvestment Bank sebaliknya mengekalkan saranan ‘pegang’ saham kumpulan dengan nilai wajaran yang diturunkan kepada RM19.60 daripada RM19.77 sesaham. - DagangNews.com