Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Feb. - Perodua meletakkan sasaran untuk menjual 240,000 kenderaan pada 2021 berbanding 220,163 unit yang dijual pada 2020.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sasaran tersebut dibuat berikutan permintaan tinggi bagi model Perodua serta lanjutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
"Dengan pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan sehingga akhir-Jun 2021, perkembangan vaksin COVID-19 baru-baru ini dan permintaan berterusan bagi semua model kami, kami yakin 2021 akan menjadi tahun pemulihan buat kami.
"Dengan pemulihan jualan Perodua yang dijangkakan, Perodua turut menjangkakan pembelian komponen tempatan sebanyak RM6.5 bilion tahun ini," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 2019, Perodua berjaya menjual 240,341 unit kenderaan.
Bagi jualan sebanyak 220,163 pada 2020, Perodua berjaya menjual 66,330 Myvi, 59,651 Axia, 56,996 Bezza, 22,494 Aruz, 14,691 Alza dan satu model lain berbanding jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 529,434 unit, memberikan Perodua 41.6% penguasaan pasaran.
Tambah beliau, Perodua dan ekosistem automotif Malaysia menghargai segala sokongan kepada industri dan akan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan dalam memastikan semua prosedur operasi standard berkaitan COVID-19 dipatuhi.
Dalam pada itu, susulan pengakhiran 2020 yang lebih baik berbanding jangkaan, Perodua ingin menambah stok dengan menaikkan sasaran pengeluaran kepada 272,000 kenderaan tahun ini.
Kenaikan tertinggi dalam sejarah Perodua itu akan membawa kepada penghantaran yang cepat pada 2021.
Sasaran pengeluaran Perodua 2021 mewakili peningkatan sebanyak 23% daripada 220,968 unit yang dikeluarkan pada 2020.
Kesemua modelnya mengandungi lebih 90% komponen tempatan, Perodua kekal menjadi pembeli komponen automotif terbesar di Malaysia.
Katanya lagi, Perodua juga menyasarkan peningkatan 20% dalam pengambilan servisnya, daripada 2 juta unit pada 2020 kepada 2.4 juta unit pada 2021, terdiri daripada pelanggan semasa serta baharu.
“Dalam usaha kami untuk terus mendapatkan sokongan daripada para pelanggan kami, Perodua akan mengubah pendekatan kami dalam segala aspek, baik dalam perhubungan pelanggan, nilai-nilai kami mahupun operasi kami terutama sekali di bahagian jualan kami, Perodua Sales Sdn. Bhd.
"Pendekatan tersebut yang dinamakan ‘Perodua Smart Build’ akan merevolusikan penawaran Perodua di samping meningkatkan lagi kemampuan operasi syarikat kereta kompak.
“Maklumat lanjut dan kesan inisiatif ‘Perodua Smart Build’ terhadap Perodua, rakan-rakan niaga kami, ekosistem automotif serta pelanggan kami yang dihargai akan diumumkan dalam waktu terdekat,” ujarnya. - DagangNews.com