Perolehan 15 kontrak dijangka beri margin keuntungan 17% buat Serba Dinamik | DagangNews Skip to main content

Perolehan 15 kontrak dijangka beri margin keuntungan 17% buat Serba Dinamik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Kejayaan Serba Dinamik Holdings Berhad yang meraih 15 kontrak melibatkan operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dijangka mendatangkan margin keuntungan sebanyak 17% buat syarikat.

 

Menurut kenyataan syarikat, daripada 15 kontrak itu, lapan bernilai AS$67.7 juta (RM286.3 juta) dengan jangka masa kerja sehingga 31 Mei 2024. 

 

Terdapat tujuh kontrak tempatan dalam segmen O&M tidak dinyatakan nilainya kerana ia berdasarkan keperluan atau jika dipanggil bagi perkhidmatan tersebut. 

 

Namun, berdasarkan anggaran kasar oleh penganalisis di PublicInvest Research, Nurzulaikha Azali, kesemua 15 projek berkenaan diunjurkan berjumlah RM386.3 juta. 

 

Dari segi skop kerja, Nurzulaikha menjangkakan nilai bagi ketujuh-tujuh kontrak berkenaan mungkin mencecah sekitar RM100 juta. 

 

“Oleh itu, nilai bagi projek kali ini dianggarkan berjumlah RM386.3 juta. Jangka masa kerja kontrak itu berbeza-beza, dengan disasarkan siap sehingga 2025. 

 

“Projek ini dijangka menghasilkan margin keuntungan 17%, secara kasarnya,” jelas beliau dalam satu nota kajian. 

 

Baca : Serba Dinamik dapat 15 kontrak O&M, EPCC

 

Berdasarkan rekod firma penyelidikan itu, perolehan kesemua projek berkenaan merupakan kumpulan kontrak yang ketiga dimenangi oleh Serba Dinamik bagi tahun 2021. 

 

Sebanyak empat daripada 15 kontrak berkenaan merupakan projek di luar negara melibatkan India dan Nepal.

 

“Walaupun perkembangan ini meningkatkan prospek perolehan masa depannya dengan pesanan buku bernilai pada kadar sihat iaitu RM18 bilion, namun kami melihat isu berhubung audit berkanun yang masih lagi ada, kebimbangan terhadap pentadbiran korporat dan tarikh tamat bagi penyerahan Laporan Tahunan 2020 dilihat terus membimbangkan sehinggalah kesemuanya diyakini selesai.

 

“Kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran buat masa ini. Kami difahamkan bahawa kumpulan akan menerbitkan keputusan suku keenam tahun kewangan 2021 (6QFY21) pada September,” tambah Nurzulaikha.

 

PublicInvest kekal ‘neutral’ ke atas saham Serba Dinamik dengan harga sasaran (TP) pada kadar RM0.44 sesaham. - DagangNews.com