Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Mac. - Syarikat Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) dijangka meraih hasil kasar hingga 6.1% daripada perolehan hartanah industri di Bukit Raja, Shah Alam.
MIDF Research berkata, hasil kasar tersebut bakal diperoleh melalui aktiviti penyewaan bagi tempoh satu tahun dengan pilihan pembaharuan 4 tempoh penyewaan lagi, dengan tiga bulan bagi setiap tempoh.
"Sewa setiap bulan bagi jangka masa penyewaan adalah RM416.7k yang memberi hasil kasar sebanyak 4.2%.
"Bagaimanapun, sewa setiap bulan bagi tempoh yang diperbaharui adalah RM608.3k yang diterjemahkan kepada 6.1% hasil kasar," jelas MIDF Research.
Perolehan hartanah tersebut diumumkan melalui perjanjian jual beli dengan nilai RM120 juta.
Hartanah tersebut terdiri daripada bangunan gudang satu tingkat, dua bangunan berkembar satu tingkat, kedai berkembar satu tingkat, bangunan pejabat tiga tingkat dan bangunan sampingan lain.
Perjanjian pembelian tersebut dijangka selesai pada separuh pertama 2021.
Mengulas berkaitan perolehan aset industri itu, MIDF Research berkata, pihaknya bersikap 'neutral' terhadap keputusan tersebut dan ia sejajar dengan strategi Axis REIT bagi mengembangkan portfolio aset perindustriannya.
Aset tersebut disewa oleh FIW Steel Sdn Bhd yang merupakan pengeluar kepingan keluli.
Binaan yang berusia 22 tahun di tapak berkenaan dilihat berpotensi untuk pembangunan semula sebagai gudang memandangkan hartanah tersebut terletak di tanah perindustrian utama dan mapan di Shah Alam.
Axis REIT memberitahu, pihaknya hanya akan meneroka cadangan pembangunan setelah tamatnya tempoh penyewaan dan tertakluk kepada penilaian dan kajian kelayakan lebih lanjut mengenai rancangan pembangunan semula. - DagangNews.com