KUALA LUMPUR 11 Julai - Perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (LCA/FLIT) untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada mana-mana pengeluar akan memberi kelebihan tersendiri.
Ini kerana semua pesaing diyakini menawarkan pakej menarik, tetapi yang pasti mengujakan ialah peluang yang terbuka untuk meneroka prospek ekonomi baharu kepada negara.
Seperti diketahui, India berhasrat menawarkan 18 buah pesawat HAL Mk1 Tejas buatan negara itu bagi memenuhi keperluan TUDM.
Penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, kebolehan teknologi aeroangkasa India tidak boleh diperkecilkan selain negara itu juga mempunyai kerjasama pertahanan yang baik dengan Malaysia.
Menurut beliau, mengikut data perdagangan antarabangsa nilai eksport negara ke India pada tahun lalu adalah sebanyak AS$10.91 bilion atau kira-kira RM48 bilion.
"India adalah pengimport minyak sawit terbesar negara diikuti Belanda, Pakistan, China dan AS.
"Eksport sawit ke India pada tahun 2020 menyumbang sebanyak RM7.2 bilion dan RM8.9 bilion tahun sebelumnya dengan pendapatan keseluruhan minyak sawit pada 2020 adalah RM36.87 bilion," ujarnya kepada DagangNews.com.
Selain pakej kewangan, tawaran bagi kerjasama senggaraan dan pembekalan alat ganti untuk pesawat Sukhoi Su-30MKM TUDM dikatakan sebagai sangat menarik.
India sejak 20 tahun lalu juga sangat komited apabila sentiasa menyertai Pameran Udara dan Maritim Langkawi (LIMA) sekali gus menunjukkan sokongannya pada industri aeroangkasa negara.
Jelas Muhammad Fuad, sekiranya tukaran dagang menjadi sandaran, India sebagai negara pengguna minyak sawit terbesar dunia iaitu kira-kira 20 peratus daripada bekalan global ada kelebihan.
Beliau memberi contoh program pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis pada tahun 2002 dengan kos RM3.8 bilion tetapi amat bermakna dalam keperluan pertahanan negara.
"Apa yang ditetapkan kerajaan pada masa itu adalah aspek pembelian ini memberikan keuntungan kepada kita dan menjana ekonomi.
"Sebanyak 35 peratus daripada kos perolehan ini melibatkan pembelian timbal balik beberapa urus niaga seperti minyak kelapa sawit dan beberapa barangan tempatan.
"Manakala 15 peratus lagi dalam bentuk pelaburan latihan dan pemindahan teknologi termasuk yang diterima beberapa industri tempatan," ujarnya.
Menerusi perolehan tersebut, negara mendapat teknologi pertahanan pada tahap yang tinggi yang boleh membantu membangunkan industri sepertinya di sini. -DagangNews.com