Perolehan Sunway susut 5.5% akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Perolehan Sunway susut 5.5% akibat COVID-19

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 April - Sunway Bhd mencatat perolehan RM1.27 bilion pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, berbanding RM1.35 bilion bagi tempoh sama pada 2019, mewakili penurunan 5.5% tahun atas tahun.

 

Perolehan lebih rendah tersebut disebabkan hasil yang lemah daripada segmen pembangunan hartanah, pelaburan hartanah dan kuari.

 

Keuntungan sebelum cukai pula susut 0.2% tahun atas tahun iaitu RM251.7 juta berbanding RM252.1 juta untuk tempoh sama pada 2019.

 

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sunway, Chong Chang Choong berkata, prestasi kewangan segmen pernigaan kumpulan terutama perniagaan hospitaliti dan taman hiburan, dijangka terus menanggung impak kesan daripada pandemik pada separuh pertama 2021.

 

"Namun, kumpulan syarikat ini secara optimistik tetapi berjaga-jaga bahawa menerusi program suntikan vaksinasi oleh kerajaan, ekonomi tempatan akan mula memulih dengan baik pada separuh kedua tahun ini.

 

"Kumpulan syarikat menjangkakan prestasi kewangan bagi 2021 adalah memuaskan," kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

Ketika kebanyakan segmen perniagaan kumpulan terus beransur pulih kesan daripada pandemik, perniagaan hospitaliti dan taman hiburan di bawah segmen pelaburan hartanah masih berdepan cabaran dalam suku tahun sekarang berikutan kemunculan kes-kes positif baharu COVID-19 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang menyebabkan operasi taman tema ditutup dengan penjarakan sosial lebih ketat dilaksanakan.

 

Kumpulan syarikat ini telah mengisytiharkan dividen tunai interim pertama sebanyak 1.50 sen setiap saham biasa, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

 

Kumpulan Sunway memiliki tunai dan bersamaan tunai sebanyak RM2.1 bilion dan juga merancangan untuk menyeimbangkan semula keseluruhan profil hutangnya. - DagangNews.com