Persada Mentari terima pembiayaan RM130 juta daripada AmBank bagi projek kediaman di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Persada Mentari terima pembiayaan RM130 juta daripada AmBank bagi projek kediaman di Pulau Pinang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Julai - Kumpulan AmBank memberikan kemudahan pembiayaan hijau sebanyak RM130 juta kepada Persada Mentari Sdn Bhd (PMSB) untuk projek pembangunan Arica @ Pulau Andaman, Pulau Pinang serta projek masa depan di pulau itu.

 

PMSB, sebuah syarikat tujuan khusus (SPV) yang ditubuhkan oleh Tanjung Pinang Development Sdn Bhd, anak syarikat Eastern & Oriental Bhd dan KWEST Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), adalah pemaju untuk projek Pulau Andaman.

 

Projek itu baru-baru ini telah dianugerahkan Pensijilan Platinum GreenRE sementara tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, pihaknya berbesar hati menyokong PMSB dalam menyediakan kemudahan pembiayaan hijau untuk projek mesra alam itu. 

 

Katanya, pihaknya percaya melalui perkongsian itu, ia boleh membuat perubahan yang nyata bukan sahaja untuk memberi kesan positif kepada alam sekitar tetapi juga mencipta masa depan lebih cerah untuk generasi akan datang. 

 

"Usaha ini menunjukkan komitmen kami dalam mempromosi dan mengoptimumkan pembiayaan mampan dan kami berbangga menjadi sebahagian daripada pergerakan yang semakin berkembang bersama PMSB dalam inisiatif mereka ke arah ekonomi mampan dan berdaya tahan," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif, Eastern & Oriental, Datuk Tee Eng Ho berkata, Arica ialah projek kediaman servis kedua E&O, yang dibangunkan selepas kejayaan pembangunan kediaman pertamanya yang dikenali sebagai The Meg. 

 

 

ambank
(Dari kiri) Datuk Tee Heng Ho, Pengerusi KWEST, Datuk Maznah Abdul Jalil; Pengarah PMSB, Michael Tan; Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank, Christopher Yap dan Datuk Sulaiman Mohd Tahir ketika majlis pertukaran dokumen pembiayaan hijau AmBank dengan PMSB di sini pada 11 Julai 2023.

 

 

"Direka bentuk untuk memenuhi piawaian Pensijilan Bangunan Hijau, pembangunan itu selaras dengan prinsip kemampanan kami dan baru-baru ini menerima Pensijilan Sementara Platinum GreenRE di bawah kategori kediaman daripada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA). 

 

"Kemudahan pembiayaan hijau yang ditawarkan oleh AmBank adalah bukti komitmen kami ke arah pembangunan mampan, serta menerima inisiatif teknologi bangunan hijau untuk mencapai kualiti pembinaan dan kelestarian alam sekitar.

 

"Kemudahan ini datang pada masa yang sesuai dan kami yakin Arica akan berada di landasan yang betul untuk disiapkan menjelang akhir 2026," katanya.

 

Kemudahan yang diberikan oleh AmBank membolehkan PMSB menumpukan pada projek aspek hijau yang menjadi teras reka bentuknya.

 

Selain membiayai projek itu, AmBank juga akan menyediakan jumlah had pembiayaan akhir bernilai RM77 juta untuk unit kediaman.

 

Berdiri megah di bandar Pulau Pinang, Arica berkonsepkan sebagai kediaman yang tenang dan lengkap untuk menarik semua peringkat umur yang mencari rumah yang sesuai dengan gaya hidup mereka. 

 

Unit-unit Arica berkeluasan 947 kaki persegi hingga 1,259 kaki persegi menawarkan 2 dan 3 bilik tidur dengan susun atur yang cekap dan praktikal untuk kehidupan optimum. - DagangNews.com