Persatuan Perkapalan Sarawak gesa pengecualian SST caj pengangkutan di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Persatuan Perkapalan Sarawak gesa pengecualian SST caj pengangkutan di Sarawak

KUALA LUMPUR 24 Julai - Persatuan Perkapalan Sarawak (SSA) menggesa pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas pengangkutan perkapalan negeri itu.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, persatuan itu berkata pengangkutan kapal antara Malaysia Timur dan Barat sebelum ini dikecualikan SST berikutan permintaan ketara daripada beberapa pertubuhan perdagangan di Malaysia Barat.

 

"Tetapi mereka lupa tentang SST untuk penghantaran dan pergerakan barang di Sarawak.

 

“Sebenarnya, pemilik kapal hanya membantu kerajaan mengutip cukai, pengguna akhir adalah pihak yang sebenarnya membayar cukai tersebut.

 

"Kami kesal kerana pihak berkuasa yang berkenaan masih tidak menjalankan program berunding dengan kami, walaupun kami selalu menekankan keperluan itu."

 

"Ia penting sebelum melaksanakan peraturan dan prosedur baharu yang  mengakibatkan kekeliruan dan tidak puas hati," katanya.

 


SSA berkata, pegawai kaunter hadapan yang baharu sering memperkenalkan prosedur atau tafsiran sendiri terhadap peraturan sedia ada, dan turut menguatkuasakannya serta-merta tanpa notis awal.

 

"Insiden baru-baru ini seperti isu berat K3 tercetus kerana perbezaan pendapat Pegawai Kaunter Hadapan Kastam di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang kerana mengisytihar berat kontena kosong, walaupun akhirnya diselesaikan dengan banyak perbincangan dengan pihak berkenaan," katanya.- DagangNews.com