Persekitaran ekonomi tidak menentu, PublicInvest unjur prospek segmen oleokimia IOI Corporation kekal lemah | DagangNews Skip to main content

Persekitaran ekonomi tidak menentu, PublicInvest unjur prospek segmen oleokimia IOI Corporation kekal lemah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - Public Investment Bank Research (PublicInvest) mengunjurkan prospek bagi segmen oleokimia IOI Corporation Berhad kekal lemah kesan daripada persekitaran ekonomi global tidak menentu.

 

Katanya, segmen penapisan dan pemasaran komoditi dijangka mengalami margin penapisan rendah atau negatif berikutan saingan sengit daripada penapisan Indonesia, yang mendapat manfaat daripada dasar duti eksport minyak sawit mentah (MSM) negara. 

 

Kilang asid lemak dan sabun baharunya telah mengurangkan kos pengeluarannya dan memberi kelonggaran bagi menyesuaikan produknya untuk memenuhi keperluan pelanggan.

 

"Pihak pengurusan menjangkakan harga MSM akan kekal dalam julat RM3,750 hingga RM4,050 bagi setiap tan dalam tempoh dua bulan akan datang sebelum bergerak lebih tinggi kerana jangkaan hujan monsun di Malaysia mungkin mengganggu aktiviti penuaian dan menyebabkan kejatuhan stok minyak sawit sepanjang suku pertama 2024.

 

"Sementara itu, kos pengeluaran dijangka lebih rendah berikutan hasil buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi dan penurunan kos baja dan diesel," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu melaporkan lonjakan 81.48% dalam keuntungan bersih bagi suku pertama berakhir 30 September 2023 (1QFY23), mencecah RM304 juta didorong perbelanjaan cukai yang lebih rendah, hasil yang lebih tinggi daripada syarikat bersekutu, dan usaha sama.

 

Bagaimanapun, hasil suku tahunan susut 39.92% kepada RM2.2 bilion, terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen perladangan dan perkilangan berasaskan sumber.

 

Keuntungan segmen perladangan turun 6% kepada RM330.8 juta, manakala keuntungan segmen pembuatan berasaskan sumber turun 55% kepada RM57.7 juta.

 

"Kami menyemak turun unjuran pendapatan bagi FY24 hingga FY26 antara 9% hingga 10% bagi mencerminkan prospek mencabar bagi segmen pembuatan berasaskan sumber.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM4.15 sesaham," katanya.- DagangNews.com