KUALA LUMPUR 3 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berpandangan 'neutral' terhadap sektor sarung tangan terutama selepas lebihan bekalan pelanggan mula berkurangan selain jurang harga antara pengeluar tempatan dan China semakin mengecil.
Katanya, persekitaran operasi pengeluar sarung tangan juga bertambah baik sekali gus mendorong kepada peningkatan dalam kadar tempahan.
Firma penyelidikan itu berkata, inisiatif pengeluar sarung tangan menutup kilang yang kurang cekap secara tetap juga memberi hasil positif, membawa kepada peningkatan kadar pengunaan selain menurunkan kos pengeluaran.
"Keadaan itu seterusnya diterjemahkan kepada jumlah kerugian lebih kecil dan keuntungan lebih baik.
"Berdasarkan kepada landskap operasi semasa, kami menyemak naik penarafan Hartalega Holdings Berhad kepada 'pegang' berbanding 'jual' dan mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Top Glove Corp Berhad dan Kossan Rubber Industries Berhad," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
HLIB berkata, selepas gagal menaikkan harga jualan pada separuh pertama 2023, pengeluar sarung tangan akhirnya berjaya melaksanakan kenaikan harga yang kecil pada separuh kedua tahun lalu.
Katanya, pelarasan haraga berikutnya dilihat lebih stabil disokong beberapa faktor termasuk pembeli mengeluarkan lebihan stok mereka selain harga bahan mentah yang lebih baik dan jurang harga yang lebih kecil antara pengeluar tempatan dan China iaitu antara AS$2,000 hingga AS$3,000 setiap seribu keping.
"Walaupun keadaan semasa yang lebih baik dan memudahkan rundingan untuk kenaikan harga tetapi kami percaya pengeluar sarung tangan tidak mungkin meneruskan kenaikan kos secara secara keseluruhan.
"Sebaliknya kenaikan itu adalah sejajar dengan pergerakan harga bahan mentah," katanya. - DagangNews.com